Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – S&P Global Ratings (S&P) menyemak penarafan Malaysia di tahap A dengan semakan semula prospek daripada stabil ke negatif kerana didorong oleh impak  wabak Covid-19 terhadap pertumbuhan ekonomi dan kedudukan fiskal negara.

Bagaimanapun kerajaan percaya dasar fiskal yang dilaksanakan merupakan satu respons yang tepat memandangkan keperluan kritikal untuk memastikan langkah-langkah rangsangan dan pemulihan ekonomi dilakukan segera untuk melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi.

Langkah-langkah ini disokong oleh laporan S&P yang optimis mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahap 7.5% bagi tahun 2021.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, krisis pandemik ini telah mempengaruhi penarafan kredit untuk pelbagai negara dan ia mencerminkan cabaran getir yang dihadapi oleh ekonomi global seperti prospek pertumbuhan yang lebih lemah, defisit fiskal yang lebih besar dan tahap hutang yang lebih tinggi.

Negara-negara dengan ekonomi terbuka seperti Malaysia telah melaksanakan langkah-langkah makroekonomi dan fiskal yang menyeluruh untuk mengurangkan impak kepada kesihatan awam dan ekonomi akibat pandemik Covid-19, juga mengakibatkan penarafan kredit yang lebih rendah untuk beberapa negara, baik yang maju mahupun yang
masih berkembang.

“Walaupun dengan penurunan prospek S&P ini, kerajaan percaya responsnya yang proaktif terhadap krisis ini adalah tepat dan bersesuaian.

”Inisiatif dan langkah-langkah di bawah pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi PRIHATIN, PRIHATIN PKS Tambahan dan PENJANA – keseluruhannya bernilai RM295 bilion – adalah bertujuan melindungi nyawa, menyokong perniagaan, menyelamatkan dan menjana pekerjaan serta merangsang ekonomi.

”Melalui langkah-langkah PRIHATIN seperti Program Subsidi Upah dan pinjaman mudah untuk PKS dan perniagaan, lebih daripada 2.4 juta pekerjaan telah diselamatkan, dan 800,000 perniagaan serta PKS mikro telah diberi sokongan.

‘Tambahan pula, di bawah PENJANA, kerajaan berharap untuk memperkasakan lebih daripada 2.6 juta pekerja melalui peningkatan kemahiran dan penempatan semula serta insentif upah dan pengambilan pekerja dan menyokong lebih 300,000 perniagaan, katanya.

Tengku Zafrul berkata, jumlah RM295 bilion untuk keseluruhan pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN dan PENJANA dijangka menyumbang lebih dari 3% kepada pertumbuhan KDNK Malaysia pada tahun 2020.

Dalam jangka masa sederhana dan panjang, kerajaan tetap komited terhadap agenda reformasi fiskal dan akan meneruskan usaha pembaikan fiskal apabila ekonomi global kembali pulih.

Tambah beliau, Malaysia mempunyai rekod prestasi pengurusan fiskal yang baik, semasa Krisis Kewangan Global pada tahun 2008/09, defisit fiskal Malaysia meningkat kepada 6.7% daripada KDNK pada tahun 2009.

Sejak itu, kerajaan berjaya mengurangkan defisit fiskal kepada 3.4% daripada KDNK pada tahun 2019, kata beliau sambil memaklumkan kerajaan juga komited untuk menurunkan defisit fiskal kepada tahap bawah 4% daripada KDNK di dalam jangka masa sederhana.

Menurut beliau, kedudukan luaran Malaysia tetap kukuh, disokong oleh lebihan akaun semasa, rizab antarabangsa yang mencukupi dan aset luaran milik bank-bank dan syarikat swasta yang tinggi malah kedudukan aset luaran mata wang asing Malaysia melebihi liabiliti atau hutang mata wang asing.

Pada akhir bulan Mac 2020, kedudukan nilai aset luaran mata wang asing Malaysia berjumlah RM923.3 bilion, yang mana 94.9% aset luaran adalah dalam mata wang asing berbanding dengan 45.3% jumlah liabiliti luaran.

Dengan kadar pertukaran matawang yang fleksibel, ekonomi Malaysia tetap berdaya tahan dalam menghadapi kemungkinan kejutan pasaran luaran.

Pasaran bon Kerajaan Malaysia juga mempunyai kecairan modal dan permintaan yang mencukupi, sekali gus akan mengurangkan pergantungan kepada dana luaran, baik dari segi penerbitan bon mata wang asing mahupun dari segi pemilikan bon kerajaan oleh pemegang asing.

Sistem perbankan Malaysia juga telah menghadapi keadaan yang mencabar dari kedudukan yang amat kukuh manakala lebihan modal sistem perbankan, di tahap RM121 bilion, adalah lebih daripada tiga kali ganda berbanding tahap semasa Krisis Kewangan Global.

Kecairan modal juga mencukupi, kualiti aset yang baik dan kerangka pengurusan risiko mantap akan terus mampu menyokong aktiviti pinjaman dan pertumbuhan ekonomi.

”Dalam beberapa dekad yang lalu, Malaysia telah membuktikan daya ketahanannya dalam menangani pelbagai cabaran, termasuk Krisis Kewangan Asia dan Krisis Kewangan Global, berteraskan asas ekonomi yang kukuh dan kerangka institusi yang baik serta pasaran kewangan yang cukup dalam dan terkawal.

“Kerajaan juga komited untuk memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan, tadbir urus yang terus ditambahbaik, pengurusan kewangan awam yang cekap dan reformasi struktur ekonomi demi kelangsungan dan daya ketahanan ekonomi Malaysia dalam jangka masa panjang. – MalaysiaGazette