Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sekarang adalah masa yang sangat sesuai untuk fokus merangsangkan pelaburan dalam negeri dengan mendorong lebih banyak perniagaan tempatan untuk melabur dalam industri yang berpotensi tinggi.

Industri-industri tersebut adalah dalam sektor kesihatan seperti pembuatan bekalan perubatan dan farmasi serta yang berkaitan dengan teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) iaitu e-Dagang dan pertunjukan ekonomi.

Di samping itu, penekanan harus diberikan untuk memulihkan industri berkaitan pelancongan yang merangkumi penginapan dan makanan dan minuman dengan meningkatkan lebih banyak pelaburan dalam industri ini.

Pelancongan adalah sektor penting yang menggajikan 23.5 peratus tenaga kerja dengan sumbangan 15.2 peratus kepada ekonomi, justeru usaha pertolongan harus ditingkatkan bagi meredakan keadaan sektor ini sekarang agar mereka dapat berkembang semula.

”Walaupun kegiatan pelancongan antarabangsa mungkin tidak akan berlaku dalam waktu terdekat, banyak langkah inovatif dapat diambil bagi menggalakkan pelancongan domestik untuk memacu permintaan sektor ini.

”Ketika permintaan dan rantaian penawaran berkembang, sektor ini perlahan-lahan dapat dipulihkan ke zaman kegemilangannya.

”Dalam hal ini, semua usaha harus digembelengkan untuk mengembalikan keyakinan untuk menjalankan perniagaan di Malaysia bagi pemulihan ekonomi yang cepat,” menurut laporan Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 2/2020.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri r. Mohd Uzir Mahidin berkata, pandemik Covid-19 yang menyebabkan ketidakpastian global pada masa kini berkemungkinan besar akan menghilangkan peluang pelaburan dari luar negara.

Negara-negara di seluruh dunia terkesan akibat wabak Covid-19 yang membawa kesan buruk terhadap aktiviti ekonomi bukan utama dan mengganggu rantaian bekalan global.

Gangguan besar pada rantaian nilai global ini telah menurunkan prestasi perdagangan Malaysia bagi bulan April 2020 yang mencatatkan penurunan terbesar sejak September 2009 semasa krisis kewangan global.

Sektor pembuatan telah menunjukkan penurunan yang ketara disebabkan oleh pemberhentian aktiviti bukan utama dan kadar kapasiti penggunaan kilang berada di bawah 50%.

Untuk pertama kalinya, kadar pengangguran di Malaysia melonjak kepada 5.0 peratus dengan jumlah pengangguran meningkat 48.8 peratus pada April 2020 kerana penutupan operasi bagi kebanyakan perniagaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).”

Mohd Uzir merumuskan sejak awal lagi kerajaan secara agresif menangani dan berusaha bagi meringankan beban kumpulan yang terlibat.

Dengan semua inisiatif dan polisi proaktif untuk mempercepat pemulihan, yang paling penting adalah mengekalkan kehidupan masyarakat dan meningkatkan penyertaan tenaga kerja di pasaran dengan upah yang memuaskan.

Ini hanya dapat dilakukan dengan pemantauan dan pelaksanaan semua inisiatif yang ketat bagi memastikan apa yang telah direncanakan sampai kepada kumpulan sasar dan perniagaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast