Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mempersoalkan kenapa UMNO secara tiba-tiba mendesak mahu Pilihan Raya Umum diadakan, sedangkan di awal kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Mac lalu, parti itu senyap.

Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, adakah desakan itu dibuat berdasarkan prinsip moral atau tidak puas hati dengan pengagihan jawatan dalam Kabinet serta syarikat kerajaan (GLC) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, kebanyakan alasan diberikan kebanyakan pemimpin kanan UMNO ialah politik negara semakin kusut dan hanya boleh diselesaikan melalui PRU.

“Sebaik sahaja PH jatuh dan Tun Dr. Mahathir Mohamad letak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh, dan selepas Langkah Hotel Sheraton, Putra dengan pantas dan tegas mendesak Dewan Rakyat dibubarkan.

“Putra mahu PRU-15 diadakan segera bertunjangkan prinsip moral demokrasi bagi mengembalikan hak rakyat untuk memilih kerajaan, sebelum Yang di-Pertuan Agong melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Namun, gesaan Putra tidak mendapat perhatian, dan kami sudah menjangkakan apabila berlaku perubahan secara melompat parti, tidak akan membantu ke arah kestabilan politik atau mendapat keyakinan antarabangsa terutama pelabur,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tegas beliau, sekarang, belum pun Dewan Rakyat bersidang pada 18 Julai ini bagi membahas dan meluluskan usul terima kasih Yang di-Pertuan Agong, sudah mula kedengaraan desakan agar Parlimen dibubar dan PRU-15 diadakan segera.

Katanya, antara parti dan pemimpin yang lantang membuat bising dan riuh rendah agar PRU diadakan segera ialah UMNO dan disokong musuh tradisinya sejak puluhan tahun, Pas, selepas berkahwin secara tiba-tiba menerusi Muafakat Nasional (MN).

“Hampir semua pemimpin UMNO sudah bersuara agar PRU-15 segera diadakan walaupun ancaman Covid-19 belum pulih sepenuhnya.

“Apakah mereka jamin politik akan stabil selepas PRU? Apakah rakyat akan membuat keputusan memberi undi kepada mereka untuk dapat dua pertiga majoriti?

“Atau setidak-tidaknya majoriti bersih 120 kerusi kepada mana-mana kumpulan atau akhirnya menghasilkan keputusan tergantung kerana tidak ada parti dapat jumlah itu seperti dakwaan terhadap kerajaan Muhyiddin sekarang?,” soal beliau.

Kata Ibrahim, jika itu hasilnya, apa faedah diadakan PRU-15 sekarang, kerana akan membelanjakan ratusan juta wang negara dalam suasana Covid-19 belum reda, semata-mata untuk memilih wakil rakyat yang akan mendapat elaun puluh ribu setiap bulan dan akhirnya bersikap sambil lewa serta berlaku pula lompat melompat jika keputusan majoriti tipis.

Malah, ujar beliau, mengadakan PRU-15 sekarang banyak cabaran dan masalahnya, kerana negara masih dalam ancaman Covid-19.

Katanya, PRU sekarang juga menyaksikan kempen agak terhad dan tidak bebas seperti biasa, termasuk kos kewangan yang tidak sedikit dibelanjakan, sedangkan hasilnya belum tentu dapat menyelesaikan matlamat diharapkan, iaitu kestabilan politik.

“Memang kedengaran pemimpin UMNO kini ramai tidak puas hati layanan Muhyiddin apabila banyak jawatan penting Kabinet dan GLC diisi Ahli Parlimen dari Bersatu dan serpihan PKR diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Malah, ada yang tidak dilantik. Jadi, UMNO tidak puas hati kerana jawatan atau kerana mahu membela rakyat sebab dasar Perdana Menteri kelapan lemah serta gagal membela rakyat?

“Mana satu? Niat kena betul, kerana rakyat bukan bodoh, atau lagi cepat PRU-15 ada peluang bagi setengah pihak dalam UMNO dapat peluang bertanding,” katanya.

Beliau berkata, semuanya menjadi tanda tanya atau ada niat yang tersirat kerana yakin kononnya UMNO dan MN bersama Pas akan kembali menang besar seperti dahulu.

Katanya, adakah ini kerana PH gagal dan timbul krisis antara Dr. Mahathir dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim?

“Apa pun pandangan parti Putra, jangan dianggap remeh sikap dan minda rakyat terutama golongan muda.

“Kita yakin Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu akan memastikan rakyat dan negara selamat. Baginda sudah pasti dengan kebijaksanaan akan membuat keputusan bukan kerana kepentingan mana-mana golongan, kumpulan atau parti, tetapi penilaian yang menyeluruh berpandukan undang-undang serta perlembagaan sedia ada.

“Keputusan yang pastinya meletakkan kepentingan keselamatan negara dan rakyat. Jika berlaku Muhyiddin hilang majoriti, Yang di-Pertuan Agong, selain mempertimbangkan nasihat Perdana Menteri, juga mempunyai pilihan lain yang dikira memberi kebaikan kepada negara dan rakyat,” katanya.

Namun, kata Dr. Ibrahim, mungkin itulah masa bertenang dan langkah pembetulan melalui Ordinan Darurat untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan dating bagi menyelesai masalah rumit.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong adalah ketua negara dan payung negara, maka taat setia rakyat yang tidak berbelah bahagi adalah kepada baginda yang juga simbol perpaduan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. HARAP PUTRA LETAK CALON D TEMPAT PPBM LETAK CALON ATAS NAMA MN..SEBAB RAMAI TOLAK CALON LOMPAT PARTI DARI UMNO,CONTOH PARLIMEN LARUT,TEMPAT LAHANAT HAMZAH..JIKA MN TAK APA,.MN HANYA ADA PAS/BN SAJA.TIADA PPBM.
    PRU 15 MN vs PH+ vs PPBM/PN..

  2. Alahai ko pun Raja Katak..tak payah nak sibuk laaa..setiap org ada pandangan peribadi..setakat ni UMNO tak de plak keluar kenyataan rasmi…

Comments are closed.