Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Putrajaya di Kompleks Kejiranan Presint 9, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 27 JUN 2020

PUTRAJAYA – Keputusan untuk membubarkan Parlimen terletak di tangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ini kerana kerajaan gabungan UMNO, BN, Pas dan Bersatu berada di bawah Perikatan Nasional yang dipimpin Muhyiddin.

Katanya, adalah menjadi tugas ketua kerajaan untuk menentukan sama ada perlu atau tidak satu Pilihan Raya Umum mengejut diadakan  ketika ini.

“Ini kita serahkan kepada Perdana Menteri menentukan nak bubarkan Parlimen sekarang untuk PRU ataupun tidak.

We leave it to PM, whatever whenever he call a shot, I think we all ready (Kita serahkan kepada PM menentukannya (PRU), bila-bila sahaja dia tentukan (bubar Parlimen) kami bersedia menghadapinya,” katanya selepas Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Perwakilan Penduduk Komuniti Putrajaya di Kompleks Komuniti Persint 9 hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan mendesak Muhyiddin supaya mengikut jejak langkah Singapura segera membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU bagi mendapatkan mandat yang kuat dari rakyat untuk mengekalkan kerajaan PN dan mengakhiri ketidaktentuan politik yang dicetuskan pembangkang yang sedang mengatur rancnagan untuk merampas semula kerajaan semasa.

Tengku Adnan berkata, setakat ini tiada perbincanan mengenai pembubaran dilakukan oleh Barisan Nasional (BN).

Ditanya tentang kemampuan BN menang jika Pilihan Raya Umum secara mengejut diadakan, beliau berkata, kini merupakan masa terbaik untuk parti di bawah Perikatan Nasional  mendapatkan mandat dua pertiga di Parlimen. – MalaysiaGazette