Zuraida Kamaruddin. foto IQBAL BASRI, 21 JANUARI 2020

TAIPING – Tiada tindakan undang-undang ke atas pemaju yang lewat menyiapkan projek perumahan adalah antara kandungan Rang Undang-undang (RUU) Pelaksanaan Langkah Sementara bagi mengurangkan kesan COVID-19 yang dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen bulan depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, perkara itu diusul berikutan banyak projek perumahan tergendala dan tidak dapat disiapkan mengikut jadual susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Apabila kita gubal RUU itu nanti, akan ada klausa iaitu kedua-dua pihak (pembeli dan pemaju) tidak boleh saman antara satu sama lain. Kita akan buatkan terma baharu,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini terdapat 700 hingga 800 permohonan daripada pihak pemaju untuk melanjutkan tempoh menyiapkan projek perumahan yang tergendala selama tiga bulan susulan pelaksanaan PKP.

“Pembeli juga perlu menerima hakikat bahawa mereka tidak boleh membuat tuntutan mengikut perjanjian asal,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu lebih serius dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melakukan kesilapan bahasa pada papan iklan.

Tegasnya, perkara itu perlu bagi memastikan setiap permohonan untuk tujuan pengiklanan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Jadi tidak perlu untuk DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka) mengambil tugas itu kerana PBT boleh menguatkuasakannya. Saya juga akan memperingatkan PBT untuk kuatkuasakan akta sedia ada supaya lebih tegas kepada mereka yang salah guna bahasa,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Datuk Dr Awang Sariyan yang meminta kerajaan meminda Akta DBP bagi memberi sedikit kuasa kepada badan berkanun itu untuk mengambil tindakan termasuk ke atas pihak PBT yang tidak menghormati penggunaan bahasa kebangsaan.

Awang mendakwa hampir kesemua 150 PBT di seluruh negara dilihat tidak benar-benar mengutamakan bahasa Melayu malah ada yang gagal menjalankan penguatkuasaan mengikut peruntukan di bawah undang-undang kecil yang ditetapkan. – Bernama