Mazlan Lazim

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dan seorang wanita tempatan diahan polis kerana disyaki terlibat mengedar dadah jenis ganja dan campuran cecair ganja dalam biskut.

Bertindak atas hasil siasatan, Pasukan Polis Jenayah Narkotik Kuala Lumpur menahan kedua-dua suspek berusia 40 dan 41 tahun yang disyaki pasangan kekesah itu pada jam 7.45 malam 23 Jun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kedua-dua suspek ditahan bersama sebuah kereta BMW berwarna hitam di kawasan letak kereta sebuah kondominium di Jalan Pinang, ibu negara.

“Hasilnya kita berjaya menahan lelaki dan wanita itu dan pemeriksaan lanjut di dalam kereta mereka berjaya menemui dadah jenis ganja sekita 2.775 kilogram dan 24 buah botol biskut cookies yang disyaki mengandungi cecair ganja sekitar 2.5 kilogram.

“Pols juga merampas wang tunai RM 1,000.00 daripada kereta suspek itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mazlan, dalam tindakan susulan polis menyerbu sebuah rumah di Alam Budiman, Shah Alam pada jam 2.30 petang 24 Jun lalu.

Katanya, hasil pemeriksaan polis berjaya menjumpai dadah disyaki ganja seberat 4.111 kilogram.

“Dalam pemeriksaan sama polis juga menemui bahan dadah iaitu minyak ganja anggaran berat 173 gram bersama wang tunai RM2,000 beserta sebuah kereta Perodua Axia dan sebuah van Daihatsu Grand Max disyaki digunakan untuk kegiatan pengedaran ganja.

“Malahan polis juga dikejutkan dengan penemuan 515 keping bar emas dan 400 keping bar perak disyaki diperoleh kedua-dua suspek menerusi kegiatan terlarang itu.

“Nilai rampasan dadah ganja adalah berjumlah RM17,120 termasuk cecair ganja dalam botol Cookies dan kepingan bar emas dan perak bernilai RM277,834.

“Dengan rampasan dan tangkapan ini polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah ganja dan cecair ganja dalam bentuk biskut cookies oleh warga tempatan di ibu negara,” katanya.

Ujarnya, lelaki berkenaan direman bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari dari 24 hingga 30 Jun ini manakala wanita berkenaan direman empat hari sehingga hari ini.

Mazlan memberitahu, kedua-dua suspek juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau atau bersangkut kes dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

“Kedua-dua mereka terlibat dalm kegiatan pengedaran dadah ini selama tiga bulan yang lalu dan jumlah rampasan dadah boleh dibekalkan kepada 400 orang pengguna dadah,” ujar beliau.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi talian hotline polis KL 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette