SELEPAS 100 hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak yang
boleh diperkatakan tentang wabak Covid-19 yang melanda negara kita. Pandemik
yang menggoncang seluruh dunia dan mengubah kehidupan umat manusia ini bakal
disematkan dalam sejarah sebagai antara virus yang begitu cepat merebak dan
ramai yang menjadi mangsa korbannya. Malah sehingga ke hari ini belum ditemukan
lagi vaksin untuk menyembuhkannya.
Malaysia memulakan langkah serius untuk menangani wabak ini melalui
penguatkuasaan PKP secara berfasa bermula 18 Mac 2020 sehinggalah kini kita
berada dalam PKP Pemulihan (PKPP) yang dikuatkuasakan sehingga 31 Ogos 2020.
Banyak yang telah kita lalui sepanjang 100 PKP dan ironinya wabak ini masih belum
berakhir, sebaliknya terus berada bersama kita. Maka di samping kita bersyukur
kerana dapat mengawal penularan wabak ini dengan baik melalui komitmen semua
pihak terutamanya barisan petugas hadapan, jangan lupa banyak lagi cabaran yang
menunggu kita selepas ini. Tegasnya, perang melawan dan memerangi virus ini
belum berakhir. Kita masih berada di tengah-tengah medan peperangan.
Memasuki fasa pemulihan ini pihak kerajaan sudah mula memberikan pelbagai
kelonggaran agar hampir semua sektor ekonomi, pendidikan dan sosial dapat dibuka
dan beroperasi semula. Ini memang wajar kerana tidak mungkin kita dapat tunggu
sehingga wabak ini berakhir atau sehingga vaksin ditemukan kerana tidak tahu bila
perkara ini akan berlaku. Justeru kehidupan perlu diteruskan, namun apa yang
penting sekarang ialah tahap kesedaran dalam kalangan anggota masyarakat kita.
Ironinya segala kelonggaran yang telah dan sedang diberikan secara berperingkat ini
datang dengan tanggungjawab yang besar. Setiap seorang daripada kita perlu
memikul tanggungjawab untuk sekurang-kurangnya menjaga diri dan keluarga
masing-masing. Jika ini dapat dilakukan kita yakin dapat memutuskan sepenuhnya
rantaian penularan wabak ini, sekali gus menjayakan fasa pemulihan yang sedang
berkuatkuasa ini. Malah sudah tentu ianya juga akan menyumbang kepada
pencapaian sasaran sifar kes yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa menjelang
pertengahan bulan Julai ini.
Oleh itu, dengan mengambil iktibar dan pengajaran dari 100 PKP, marilah kita
perbaharui tekad untuk terus menjadi warganegara yang bertanggungjawab kepada
diri, keluarga, masyarakat dan negara. Sudah tentu kita tidak mahu PKP
dilaksanakan semula yang menyebabkan hampir semua sektor terpaksa ditutup dan
kita pula terpaksa terperuk di rumah. Tetapi harus diingat jika kita salah guna
kelonggaran yang diberikan serta lalai dan cuai maka tidak mustahil pihak kerajaan
melaksanakan semula PKP. Untuk rekod, hal ini telah berlaku di kebanyakkan negara
luar apabila selepas PKP ditamatkan, rakyat mereka terlalu cepat leka dan alpa
menyebabkan kes baru meningkat semula, dan akhirnya pihak kerajaan mereka
menguatkuasakan semula PKP. Apakah kita mahu senario yang sama berlaku di
negara kita? Penulis percaya sudah tentu jawapannya ialah tidak!
Justeru bagi mengelak kes baru meningkat semula, pastikan kita mematuhi segala
arahan, nasihat serta Prosedur Standard Operasi (SOP) yang telah ditetapkan oleh
pihak berkuasa seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan
Malaysia ( KKM). Jangan SOP hanya tinggal SOP atas kertas semata-mata,
sebaliknya kita perlu mematuhi sepenuhnya. Hal ini sangat mustahak kerana
pemerhatian penulis sendiri di beberapa lokasi seperti pasaraya, restoran dan tempat
awam mendapati sudah ada dalam kalangan anggota masyarakat kita yang tidak
begitu mengendahkan lagi aspek penjarakan sosial serta ramai juga yang sudah
mula tidak memakai pelitup muka di tempat awam/orang ramai.
Kita khuatir sikap acuh tak acuh segelintir anggota masyarakat seperti ini boleh
menyebabkan wabak ini kembali merebak, meningkatkan jumlah kes serta
membahayakan semua orang. Oleh itu, demi keselamatan semua pihak kita
memohon kerjasama seluruh anggota masyarakat agar sentiasa berhati-hati dan
patuhi SOP yang telah ditetapkan. Ingat, kita belum bebas sepenuhnya dari ancaman
wabak ini. Sebagai peringatan bersama, walaupun serangan virus ini kelihatan
seperti reda tetapi menurut Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros
Adhanom Ghebreyesus, jangkitan semakin teruk di seluruh dunia di mana jumlah
jangkitan kes baharu dijangka mencapai 10 juta dalam masa terdekat dengan angka
kematian 500,000.
Jadi teruskanlah gaya hidup norma baharu seperti amalkan penjarakan sosial,
memakai pelitup muka bila bergejala atau berada di tempat awam serta kerap
membasuh tangan dan menggunakan pensanitasi tangan. Jadikan 100 hari PKP yang
telah kita lalui itu sebagai iktibar dan pengajaran yang sangat perit dan berguna
dalam mengharungi cabaran kehidupan kita yang seterusnya.
Noor Mohamad Shakil Hameed, pembaca MalaysiaGazette