Menteri Luar Negeri yang juga bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (dua kanan) bersama penduduk melaungkan kata-kata semangat pada Program Ramah Mesra Bersama Masyarakat Orang Asli sempena Pilihan Raya Kecil N.23 CHINI di Kampung Orang Asli Gumum, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 28 JUN 2020

CHINI – Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak terkejut dengan dakwaan bahawa beliau akan menubuhkan parti bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Bercakap kepada media, Hishamuddin berkata, ia adalah fitnah untuk melaga-lagakan pemimpin Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ditubuhkan pada Mac lalu.

“Saya tidak terkejut sebab nak tubuhkan parti baru dengan Azmin. Ini fitnah dan usaha untuk melaga-lagakan pemimpin kita.

“Saya rasa fitnah ini berdasarkan kepada niat jahat. Tidak perlu kita jawab banyak sangat kerana mereka mahu kita layan isu-isu begini supaya ia berterusan di sosial media.

“Pendirian saya tetap bersama BN. Sampai hari ini saya masih dengan BN selepas dituduh macam-macam sebelum ini.

“Apa lagi dengan nak wujudkan parti baru atau parti yang bersama Muhyiddin dan termasuk pemimpin UMNO. Ini saya rasa tujuan yang tidak baik dan jahat dan mungkin ini menunjukkan betapa terdesaknya mereka kepada apa yang kita lakukan 100 hari  memimpin negara,” katanya ketika melakukan ziarah masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Gumum, Chini.

Hishammuddin Hussein

 

Nama Menteri Luar Negeri itu dikaitkan dengan penubuhan Parti Reformasi Bersatu Negara (Parti Negara) bersama beberapa lagi pemimpin UMNO, antaranya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Presiden.

Senarai penaja parti itu adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Parti Reformasi Bersatu Negara (Parti Negara), bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Ketua Umum.

Sama seperti Ismail Sabri, Hishamuddin turut berkata, beliau masih setia dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Malah beliau berkata, dakwaan ini menunjukkan pihak tidak bertanggungjawab itu gentar dengan pentadbiran 100 hari kerajaan Perikatan Nasional.

“Kalau ini menunjukkan mereka sudah bimbang dan menggunakan strategi sebegini rupa, bagi saya kita berada pada landasan yang baik dan ini membimbangkan mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.