Foto Instagram Atilia Haron.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Atilia Haron mengundang spekulasi melakukan senaman yoga dengan tidak memakai kasut dan memegang makanan di sebuah pasar raya.

Menerusi perkongsian video di Instagram miliknya, netizen berpendapat dia tidak mementingkan kebersihan itu memandangkan negara masih belum bebas dari wabak Covid-19.

Bagaimanapun, Atilia atau nama sebenarnya Raja Putri Atilia Raja Haron, 46, memberitahu dia hanya membuka topeng muka buat sementara untuk melakukan senaman tersebut dan telah membeli barang yang dipegangnya.

“Saya ada mask. Saya buka sekejap dan letakkan ia di leher. Ya… tiada kasut sebab saya miskin. Pegang barang sebab saya suka coklat itu dan saya beli.

“Saya rasa ia pegang dan beli. Is that okay? Hanya orang yang lakukan yoga akan faham,” kata Atilia membalas salah satu komen netizen.

Video yang dikongsikan Atilia di laman Instagram miliknya itu kini mendapat lebih 14,000 tontonan.

Sementara itu, anak kepada penyanyi legenda Salamiah Hassan itu turut memberitahu dia memahami keadaan pandemik telah menyebabkan segelintir masyarakat terpaksa hidup dalam kesusahan.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Bahagiaku itu tidak mempunyai sebarang niat untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak dengan memuat naik video tersebut.

“Pandemik telah menyebabkan kesusahan dalam kehidupan segelintir masyakat. Apa yang saya lakukan untuk meringankan suasana. Jika perkara ini menyinggung perasaan awak, saya tiada niat untuk berbuat demikian.

“Terima kasih kerana memahami dan have a good day,” ujarnya.

Atilia turut memberitahu dia sudah mendapat kebenaran daripada pengawal keselamatan yang menjaga pasar raya itu untuk membuat rakaman video itu. – MalaysiaGazette