Wan Noor Hayati Wan Alias atau dikenali Ibu Yati.

KUALA LUMPUR – Keputusan representasi bagi menggugurkan kes seorang wartawan wanita yang didakwa membuat kenyataan mengenai Covid-19 pada laman Facebook miliknya ditetapkan pada 13 Ogos ini.

Majistret Tawfiq Affandi Chin menetapkan tarikh tersebut pada sebutan semula kes tertuduh, Wan Noor Hayati Wan Alias atau dikenali Ibu Yati di Mahkamah Majistret hari ini.

Terdahulu, Wan Noor Hayati didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Wan Noor Hayati diwakili peguam Fudhail Zulaini daripada firma guaman Jahaberdeen and Co.

Pendakwaan sebelum ini dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal bagaimanapun difahamkan beliau mendapat cuti sakit menyebabkan sebutan kali ini diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shahrizzat Amadan.

Mohamad Shahrizzat memberitahu mahkamah bahawa beberapa dokumen juga akan dikemukakan kepada tertuduh di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

Pada 5 Februari lalu, Wan Noor Hayati mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tiga pertuduhan membuat kenyataan mengenai Covid-19 pada akaun Facebook miliknya, Januari lalu.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, wanita itu didakwa secara sedar membuat kenyataan mengenai koronavirus dengan niat untuk menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada golongan awam.

Ketiga-tiga kenyataan tersebut dibaca di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman pada pukul 10 malam, 26 Januari lalu.

Dalam pada itu, kes kontroversi itu juga mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ), Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia  (NPC).

Sebutan kes itu dihadiri peguam pemerhati, Vince Tan dari TrialWatch iaitu satu projek hak asasi manusia dari Clooney Foundation berpangkalan di Amerika Syarikat bagi menilai aspek keadilan perbicaraan kes yang membabitkan wartawan dan membuat laporan mengenainya.

Wan Noor Hayati yang juga merupakan antara pemenang anugerah Kajai 2014. – MalaysiaGazette