KUALA TERENGGANU- Pengorbanan Athma Hamzah, 60, menjaga anak saudara, Mohd Fauzie Anuwar, 35, penghidap epilepsy dalam keadaan beliau sendiri tidak bekerja serta menderita penyakit kencing manis, darah tinggi dan rabun, amat meruntun perasaan.
Athma dilahirkan dalam keluarga lima beradik namun mereka yang lain sudah meninggal dunia.
Mohd Fauzie adalah anak Allahyarham abangnya dan sudah lama tinggal bersamanya.
“Saya tidak pernah berkahwin dan selepas semua adik-beradik meninggal dunia hanya Fauzie dan seorang lagi adiknya menemani hidup saya di rumah ini.
“Fauzie ada juga buat kerja kampung seperti mengambil upah potong rumput dan membetulkan rumah.
“Bagaimanapun dengan penyakit yang dihidapinya itu dia memerlukan rawatan sebulan sekali di pusat kesihatan berhampiran,” kataya Athma.
Menurut Athma, dia sendiri perlu berulang alik ke hospital dan dalam keadaan yang serba kekurangan itu dia memerlukan bantuan kewangan.
Athma ditemui di rumahnya di sini ketika Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun menziarahinya pada program lawatan beliau ke negeri itu, semalam.
Turut serta, Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu, Zuhami Omar dan Pengarah Yayasan Kebajikan Negara Zon Timur, Zahimi Mohamad.
Pada kunjungan itu, Rina menyampaikan sumbangan peralatan dapur dan bantuan kewangan.
“Athma mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM 200 sebulan.
“Dalam pada itu, JKM akan sentiasa memantau keadaan beliau dan anak saudaranya kerana mereka sangat memerlukan perhatian terutama kesihatan mereka berdua,” katanya.
Athma juga dalam proses memohon bantuan sara hidup dengan Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). – MalaysiaGazette