Bung Moktar Radin

PETALING JAYA – Dengan kemungkinan pilihan raya kilat diadakan pada bila-bila masa, parti politik kini mengintai kerusi-kerusi yang boleh ditandingi dan berunding dengan rakan-rakan seangkatan mengenai pengagihannya.

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya sedang berunding dengan Bersatu mengenai pengagihan kerusi dan berharap dapat bertanding di 14 kerusi.

“Kami mempertimbangkan untuk bertanding di 14 kerusi. Jika Bersatu ada calon lain, ia harus membuktikan kemampuannya untuk menang,” katanya kepada Sinchew Daily.

Bung Moktar berkata, pilihan raya kilat lebih berkemungkinan diadakan pada akhir tahun ini atau awal tahun depan.

Katanya, UMNO Sabah akan menggunakan lambang Barisan Nasional (BN) untuk bertanding, dan ia juga mempunyai autonomi dalam soal tersebut.

Beliau berkata, BN Sabah menyokong cadangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengadakan pilihan raya umum bagi menstabilkan keadaan politik negara.

“Pilihan raya kilat adalah baik dan ia dapat memberi mandat kepada kerajaan baharu,” katanya.

Sementara itu di Pulau Pinang, MCA mengintai lebih banyak kerusi dengan peninggalan Gerakan daripada BN.

Ketua MCA Pulau Pinang, Datuk Tan Teik Cheng berkata, perundingan mengenai pengagihan kerusi telah diaktifkan dan MCA buat julung kalinya mungkin mendapat lebih banyak kerusi daripada UMNO Pulau Pinang.

Selama ini, UMNO mendapat 15 kerusi, Gerakan (13), MCA (10) dan MIC (13) untuk bertanding di bawah panji BN.

“Dengan keadaan Gerakan yang telah meninggalkan BN, tradisi pengagihan kerusi di Pulau Pinang juga akan mengalami perubahan,” kata Teik Cheng kepada Kwong Wah Yit Poh.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong tidak menafikan kemungkinan partinya bertanding di semua kerusi di Pulau Pinang termasuk di kawasan dengan majoriti pengundi Melayu.

“Gerakan menekankan kepelbagaian  kaum dan menerima sokongan sekumpulan ahli Melayu selepas meninggalkan BN, yakni boleh bertanding kawasan bukan tradisi,” katanya. – MalaysiaGazette