LONDON – Manchester United memerlukan beberapa pemain lagi untuk menguatkan pasukan dan Leroy Sane boleh menjadi calon utama untuk mempertajamkan skuad Ole Gunnar Solskjaer itu.
Bekas pemain Manchester United, Dwight Yorke berkata, Solskjaer perlu menimbang untuk mendapatkan Sane sekiranya misi untuk mendapatkan pemain muda Borussia Dortmund, Jadon Sancho tidak berjaya.
Manchester City kini membenarkan Sane meninggalkan kelab itu untuk menyertai gergasi Jerman, Bayern Munich.
Bagi Yorke, kehadiran Sane boleh memberikan lebih kekuatan kepada United kerana mereka sudah mempunyai beberapa pemain muda yang berpotensi tinggi.
“Manchester United mempunyai ramai pemain penyerang muda yang cukup baik. Selain Jadon Sancho, saya juga sukakan Leroy Sane. Tapi jika tak dapat, saya lebih suka memilih Sane,” katanya menerusi laman Goal.
Yorke juga berpendapat Sane merupakan pemain yang sesuai beraksi di bahagian sayap kiri.
Sancho kini menjadi buruan banyak kelab utama Eropah dengan Manchester United adalah kelab yang ingin mendapatkannya.
Selain itu, Chelsea dan Barcelona turut dikaitkan dengan pemain itu yang menurut Dortmund, mereka belum menerima sebarang tawaran rasmi mengenai pemain tersebut lagi. – MalaysiaGazette