Seorang peserta memegang poster bantahan ketika menyertai Himpunan Rakyat Tolak Israel Masuk Malaysia di dataran Masjid Putrajaya, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 01 FEBRUARI 2019

Tanpa sebarang keraguan lagi, Israel memang layak untuk didakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di atas segala penindasan dan kekejaman yang telah dilakukan
oleh mereka terhadap rakyat Palestin. Buat sekian lama, Israel telah mengetepikan banyak peruntukkan undang-undang antarabangsa dengan melakukan pelbagai jenis
penindasan dan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Terdapat juga usaha diambil oleh pihak Israel serta pihak-pihak tertentu yang bersekongkol dengan Israel untuk menafikan kewujudan sebuah negara Palestin yang bebas merdeka seperti pengistiharan Bandaraya Baitulmaqdis secara sepihak sebagai ibu kota Israel pada penghujung tahun 2017 yang lalu. Perdana Menteri Israel, Benjamin
Netenhayu melalui kempen politiknya menyatakan banyak kali hasratnya untuk mengambil beberapa kawasan milik Palestin di Tebing Barat sebagai wilayah mutlak Israel.

Usaha mereka ini hampir menjadi kenyataan apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bersama-sama dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netenyahu pada
24 Januari yang lalu mendedahkan rancangan pelan damai antara pihak Palestin dan Israel yang kononnya dianggap oleh mereka berdua sebagai perjanjian damai terpenting
dalam abad ini. Antara intipati utama rancangan pelan damai berkenaan adalah dengan memberi pengiktirafan kepada kewujudan kepada dua buah negara iaitu negara Palestin serta negara Israel, namun pihak Israel diberi hak untuk mengekalkan bandaraya Baitulmaqdis sebagai ibu negara mereka yang tidak boleh dikongsi dengan mana-mana
pihak. Penempatan haram Israel di Tebing Barat juga akan secara rasminya menjadi hak milik Israel. Israel juga bakal mendapat wilayah Lembah Jordan. Banyak lagi syarat syarat gila serta yang tidak masuk akal dimasukkan didalam rancangan pelan damai syok sendiri berkenaan oleh pentadbiran Amerika Syarikat yang bakal memberi lebih banyak tekanan kepada pihak Palestin.

Perlu diingat, semenjak penubuhan negara Israel pada tahun 1948, rakyat Palestin tidak pernah mengecapi keamanan. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan Israel untuk memastikan setiap inci tanah milik rakyat Palestin menjadi milik mereka, sekali gus menafikan hak rakyat Palestin untuk mewujudkan sebuah negara yang merdeka. Untuk rekod, Israel telah banyak melanggar Konvensyen Geneva serta pelbagai jenis undang- undang antarabangsa khususnya yang berkaitan dengan hak asasi manusia terhadap rakyat Palestin. Antara Konvensyen Geneva yang banyak telah dilanggar oleh pihak Israel
termasuklah dengan melakukan pembunuhan kejam terhadap rakyat awam Palestin tanpa mengira usia dan jantina, memindahkan rakyat Israel ke kawasan yang ditakluki oleh mereka ke tanah milik Palestin di Tebing Barat, menyusahkan kehidupan rakyat palestin dengan mengenakan pelbagai jenis perintah berkurung dan penutupan jalan raya serta kawasan tanpa sebarang sebab yang munasabah serta mengunakan kuasa ketenteraan
mereka secara berlebih-lebihan terhadap rakyat awam Palestin.

Pada masa yang sama juga, pihak Israel telah melanggar berpuluh-puluh peruntukkan undang-undang antarabangsa dan beratus resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditujukan kepada mereka dengan meneruskan proses penaklukan ketenteraan mereka di tanah Palestin, meluaskan serta menambah kawasan penempatan rakyat Israel di kawasan milik Palestin, membina tembok ditanah milik Palestin, serta menafikan hak
pelarian Palestin untuk kembali ke tanah mereka sendiri. Semua perlanggaran undang- undang antarabangsa ini melayakkan pihak Palestin membawa kes mereka ke pengetahuan pihak ICC untuk mendakwa Israel. Walaupun Israel tidak menjadi anggota kepada ICC, namun tindakan undang- undang boleh diambil melalui ICC terhadap
jenayah yang telah dilakukan oleh mana- mana warga Israel di tanah dan kawasan milik Palestin seperti di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Pelbagai jenis tindakan undang – undang yang boleh diambil oleh pihak Palestin melalui ICC terhadap Israel seperti jenayah perang, jenayah kemanusiaan, pembunuhan beramai- ramai orang awam, pengusiran penduduk awam dari tanah mereka sendiri, mewujudkan penempatan haram dan lain-lain seperti yang jelas termaktub dibawah Artikel 5, 7 and 8 Statut Rom, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Terdapat pelbagai jenis hukuman yang disediakan terhadap mana–mana  pihak yang didapati bersalah oleh ICC. Antara jenis hukuman yang boleh dikenakan meliputi penjara untuk satu tempoh yang lama, denda, serta rampasan harta. Ini jelas diperuntukkan dibawah Artikel 77 Statut Rom, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Justeru itu, adalah penting bagi pihak berkuasa Palestin untuk teruskan usaha mereka mengambil tindakan undang-undang terhadap Israel bagi melindungi, menjaga dan mengambil kembali kedaulatan wilayah mereka yang telah lama diceroboh dan dijajah serta menegakkan keadilan terhadap rakyat Palestin yang sudah lama menjadi mangsa penindasan dan kekejaman oleh Israel.

Semua negara dunia yang masih mempercayai pada prinsip keadilan dan
kedaulatan undang – undang perlu memberi kerjasama serta sokongan tidak berbelah bagi terhadap kerajaan dan rakyat Palestin di dalam perkara ini. Negara- negara Islam
termasuk Malaysia harus tampil berani membantu kerajaan dan rakyat Palestin tanpa berasa bimbang atau takut terhadap sebarang ancaman atau ugutan yang bakal
diterima dari mana- mana negara yang sentiasa menyebelahi Israel.

Oleh: Dr. Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)