Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah hari ini membenarkan permohonan penangguhan perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi memberi laluan kepada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Chini Sabtu ini.

Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya berkempen di Chini seterusnya jadual penuh sehingga pengundian pada Sabtu ini.

Chini merupakan salah satu DUN dalam kawasan Parlimen itu dan PRK kali ini merupakan yang pertama dijalankan selepas Perintah Kawalan Pergerakan kerana pandemik Covid-19 sejak Mac lepas.

Najib ke Chini untuk berkempen bagi calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain mewakili UMNO yang akan menentang dua calon bebas iaitu Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli.

Kerusi DUN Chini terpaksa dikosongkan pada 7 Mei lalu selepas wakil rakyatnya Abu Bakar Harun, 59, meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Kuala Lumpur.

Terdahulu, Collin ada bertanya kepada Najib yang sedang menghadapi pertuduhan penyewelengan dana sebanyak RM2.3 bilion sekiranya perbicaraan boleh disambung esok pagi untuk setengah hari.

Namun menurut peguambela Najib, keadaan itu agak susah memandangkan malam ini beliau sudah memulakan kempen di Chini dan untuk pulang bagi perbicaraan keesokan pagi agak menyukarkan.

Jadual kempen Najib juga agak padat siang malam untuk beberapa hari sehingga pengundian kata Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

“Kehadiran Najib dalam kempen itu penting kerana Chini berada di bawah kerusi parlimen Pekan di mana terdapat  empat kerusi DUN bawah Parlimen ini,” katanya.

Peguambela Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Shafee Abdullah.

Malah Muhammad Shafee sendiri telah meminta penangguhan separuh hari kerana dirinya perlu hadir ke Wisma Putra pada sebelah petang bagi urusan penting.

“Saya hanya dapat tahu tentang temujanji di Wisma Putra lewat malam tadi melalui pesanan Whatsapp. Saya mohon perbicaraan hari ini di pendekkan sehingga jam 2 petang,” katanya.

Selain itu, Muhammad Shafee juga memohon jasa baik mahkamah supaya melapangkan beberapa tarikh perbicaraan ini iaitu antara 13 hingga 17 Julai kerana keperluan Najib sebagai Ahli Parlimen hadir ke Parlimen untuk persidangan Dewan Rakyat.

Jelas Muhammad Shafee, Najib perlu hadir kerana ada kemungkinan berlakunya undian serta anak guamnya juga mungkin perlu berbahas.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib juga memberitahu Ketua Pendakwaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram tidak dapat menghadirkan dirinya ke perbicaraan kerana tidak sihat hari ini.

Hakim kemudian memberi kebenaran kepada permohonan tersebut dan menangguhkan perbicaraan sehingga 15 Julai hadapan jam 9.30 pagi.

Najib yang juga bekas Presiden UMNO sedang berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama. –MalaysiaGazette