Pendatang asing tanpa izin menaiki trak Jabatan Imigresen selepas membuat serbuan di sekitar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 20 MEI 2020

Oleh : Mohd Zaini Othman

Pelaksanaan Operasi Benteng (Op Benteng) di seluruh negara melibatkan gabungan pelbagai agensi penguat kuasa yang diaktifkan sejak Mei lalu di bawah National Task Force (NTF) telah membuahkan hasil. Operasi yang melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia dilihat berjaya mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi Pati bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19.

Operasi secara besar-besaran yang memfokuskan kawalan kemasukan ke atas orang ramai yang keluar masuk melalui sempadan Malaysia sama ada melalui laluan sah mahupun jalan tikus dan memburu tekong serta anggota sindiket yang terlibat dalam masalah Pati ini ternyata telah menimbulkan kegusaran kepada pihak berkenaan. Jika tidak, masakan ada dalam kalangan sindiket ini begitu berani membuat ugutan kepada pihak berkuasa untuk ‘berehat’ dari terus membongkar dan melumpuhkan aktiviti penyeludupan PATI ini.

Pendedahan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay baru-baru ini bahawa beliau dan anggotanya menerima ugutan dari kumpulan ini menjadi petunjuk bahawa mereka berasa terancam dengan Op Benteng. Melalui operasi ini, bukan sahaja menyaksikan berates-ratus tekong darat, ejen, transporter (pengangkut) dan pemilik premis penampungan (rumah yang menempatkan Pati) di tahan, malah anggota penguatkuasa yang bersekongkol turut tidak terlepas.

Laporan berita di media mengenai anggota penguatkuasa yang ditahan kerana menjadi dalang kepada penyeludupan pastinya merosakkan nama baik agensi masing-masing, bak kata pepatah ‘Kerana nila setitik habis rosak susu sebelanga, Kerana kerbau seekor habis sekampung terpalit lumpur’. Ketika pada diri mereka kita menyandarkan sepenuh kepercayaan untuk menjaga kedaulatan negara, tapi akhirnya tangan-tangan mereka yang mematahkan pucuk pengharapan tersebut, khianat membawa masuk dan melindungi PATI.

Maka amat wajarlah gesaan dari pelbagai pihak untuk mereka dijatuhkan dengan hukuman yang berat di mahkamah dan ini juga sebagai bukti menunjukkan bahawa agensi penguatkuasaan kita tidak pilih bulu dalam mengambil tindakan undang-undang.

Isu PATI tidak boleh dipandang enteng kerana setiap daripada mereka mampu memberi risiko yang besar kepada rakyat Malaysia dan negara. Sekadar membayangkah apabila ada di antara Pati ini terbabit dengan aktiviti tidat sihat di negara asal atau menjadi buruan pihak berkuasa di pelbagai negara berjaya bolos ke negara ini secara tidak sah kerana tidak perlu melalui ‘tapisan’ di pintu sempadan, apa musibah yang bakal terjadi?

Paling dkhuatiri apabila berjaya memasuki negara, golongan PATI ini bebas pula bergerak di dalam negara di dalam pelbagai sektor pekerjaan, membina penempatan dan komuniti sendiri, terlibat dalam kegiatan jenayah malah yang lebih ‘otai’ mampu membina kartel jenayah tersendiri.

PATI tidak seharusnya berada bebas dalam negara ini kerana golongan ini menyumbang kepada statistik isu sosial dan jenayah di negara ini selain menimbulkan rasa tidak selesa dan terancam penduduk tempatan apabila terpaksa hidup bersama mereka.  Masalah Pati juga sebenarnya turut menyumbang kepada konflik pemerdagangan manusia yang semakin membimbangkan di peringkat global kerana menurut Mohd Bakri (2010), dianggarkan hampir 2.5 juta manusia dari 127 buah negara telah diperdagangkan di seluruh dunia.

Secara umumnya, hampir kesemua negara di dunia terlibat dengan isu pemerdagangan manusia. Hal ini disebabkan kerana isu pemerdagangan manusia merupakan isu rentas sempadan, maka banyak negara di dunia sama ada negara maju atau membangun tidak terlepas daripada menghadapi isu ini. Kemakmuran Malaysia disamping pertumbahan ekonominya yang pesat membangun menjadi ‘ubat pelaris’ mengapa negara ini menjadi negara destinasi kepada warga asing untuk merantau ke sini sebagai PATI.

Sekadar contoh lihat apa yang berlaku di Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang sebagai contoh, hampir 20 tahun lamanya pasar ini dikuasai oleh pendatang asing sebagai pekerja dan peniaga dengan sebahagiannya adalah Pati. Hikmah Malaysia di landa Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh Kerajaan berjaya ‘menghijaukan’ kembali Pasar Borong Kuala Lumpur dari pekerja asing dan Pati sekaligus membuka peluang kepada anak tempatan untuk mencari rezeki di situ.

Isu melibatkan Pati tidak boleh dibiarkan daripada terus menjadi barah kepada Malaysia kerana ianya akan membawa pelbagai kesan negatif khususnya merencatkan pembangunan negara ini dari aspek politik, ekonomi dan sosial. Melalui pemerhatian penulis, kerajaan dan masyarakat perlu saling sokong-menyokong pada setiap inisiatif yang digerakkan untuk membanteras Pati hingga ke akar umbi.

 

Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast