Jamal Khashoggi
Jamal Khashoggi

ISTANBUL – Sebuah makamah di Turki memulakan prosiding tanpa kehadiran ke atas 20 warga Arab Saudi terhadap pembunuhan wartawan, Jamal Khashoggi yang dilakukan di konsulat negara itu di Istanbul pada 2018.

Khashoggi yang merupakan warga Arab Saudi dibunuh oleh sekumpulan warga senegaranya dalam satu operasi sebaik sahaja beliau memasuki konsulat itu. Mayat beliau tidak dijumpai.

Pada perbicaraan itu, Mahkamah Kesalahan Berat Istanbul mendengar alasan tunang Khashoggi dan beberapa orang saksi, lapor Anadolu.

Tunang beliau, Hatice Cengiz berkata, kolumnis Washington Post itu telah diperdayakan untuk memasuki konsulat tersebut.

Katanya, mereka yang mengetahui mengenai pembunuhan itu dan mereka yang memberi arahan untuk melakukan serangan perlu dipanggil pada perbicaraan tersebut,

Tambah beliau, Khashoggi memasuki konsulat itu pada 2 Oktober 2018 untuk mendapatkan dokumen berkaitan perkahwinan yang mereka rancang.

Cengiz berkata, selepas memasuki konsulat, Khashoggi tidak pernah keluar. Oleh itu, beliau menghubungi polis.

Seorang lagi saksi, Yasin Aktay yang merupakan penasihat kepada Parti Pembangunan dan Keadilan berkata, Khashoggi sangat risau apabila Mohammed bin Salman (MBS) diisytiharkan sebagai Putera Mahkota Arab Saudi.

Katanya, ia akan membawa hari yang gelap kepada negara tersebut.

“Kami pernah berbicara mengenai operasi yang dilakukan oleh Arab Saudi terhadap penentang di luar negara,” ujarnya.

Aktay berkata, Khashoggi memberitahunya semasa lawatan ke Amerika Syarikat (AS), MBS melawat pejabat Washington Post.

Wartawan itu mengemukakan soalan kepada beliau yang membuatkannya sangat marah, katanya, kerana mereka hanya dikenali oleh seseorang yang mempunyai pengetahuan yang luas mengenai apa yang berlaku di Arab Saudi dan rahsianya.

Saksi tersebut menyatakan bahawa beliau mengetahui daripada wartawan itu bahawa MBS telah memberitahu mereka yang rapat dengannya untuk ‘membawa kepala Khashoggi’.

Pada hari kejadian, Aktay berkata, apabila mengetahui tentang insiden itu daripada Cengiz, beliau menghubungi Ketua Organisasi Perisikan Kebangsaan Turki, Duta Arab Saudi dan meninggalkan nota kepada Setiausaha Peribadi Presiden.

Saksi-saksi lain termasuk enam warga Turki yang bekerja di konsulat dan kediaman konsul besar.

Mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap ke atas defendan dan memutuskan untuk menunggu respon daripada Interpol.

Mahkamah juga memanggil tiga saksi yang tidak hadir pada perbicaraan 24 November lalu. – Agensi