LOS ANGELES – Seorang pemandu trak meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 sehari selepas mengaku dia melanggar peraturan kesihatan dengan menghadiri parti barbeku tanpa memakai pelitup muka dan penjarakan sosial.
Thomas Macias, 51, menulis mesej berkenaan dalam laman sosial Facebook setelah merasakan dirinya bersalah dan kemudian disahkan meninggal dunia di hospital akibat Covid-19.
Sebelum meninggal dunia, mangsa melahirkan rasa kesal kerana meletakkan ahli keluarganya dalam bahaya dijangkiti virus itu dengan menghadiri parti barbekudi Tasik Elsinore.
Macias adalah penghidap penyakit kencing manis kronik.
Beliau dikatakan mahu melepaskan kebosanannya dengan hadir ke parti itu bersama kawan-kawannya selepas berkurung dalam rumah lebih daripada tiga bulan.
Bagaimanapun salah seorang rakannya yang hadir ke majlis tersebut didapati positif Covid-19, namun merahsiakan maklumat tersebut kepada mereka yang hadir di parti tersebut.
Macias yang tertekan selepas disahkan positif Covid-19 selepas majlis itu bertindak menyalahkan diri sendiri akibat kecuaiannya sebelum meninggal dunia.
Dalam mesej terakhir itu, Macias juga memberi amaran kepada orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai litupan muka dan mengamalkan penjarakan sosial.
“Saya bertindak bodoh, ingkar arahan kesihatan tidak memakai pelitup muka dan gagal memastikan penjarakan sosial ketika berkumpul dan berparti.
“Kini kebodohan saya meletakkan emak dan kesemua adik beradik saya dalam bahaya. Saya sangat malu dengan perbuatan ini. Anda jangan melakukan kesilapan yang saya lakukan dan ambil serius saranan pasukan kesihatan betapa bahayanya virus itu,” katanya.
Hampir kesemua yang menghadiri parti berkenaan bersama Macias turut disahkan positif Covid-19.
Macias menjalani saringan pada 15 Jun lalu sebelum disahkan positif tiga hari kemudian.
Macias kemudian dikejarkan ke hospital dengan ambulans pada 21 Jun lalu dan diberikan bantuan pernafasan tetapi disahkan meninggal dunia pada hari yang sama. – MalaysiaGazette