KUALA LUMPUR- Seramai 414 daripada 1,400 individu yang dikuarantin di rumah masih belum membuat saringan kedua Covid-19 seperti diarahkan untuk berbuat demikian dengan segera.
Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekiranya mereka masih berdegil, pihak polis akan datang ke rumah masing-masing.
“Saya tidak tahu sama ada mereka masih berdegil atau memang tidak mendapat maklumat tetapi saya berharap 414 ini dapat melakukan saringan dengan segera atau menghubungi Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Jika tidak, pihak polis akan datang ke rumah mereka.
“Kalau mereka selesa pergi sendiri (untuk membuat saringan Covid-19 di klinik kesihatan), tidak perlu tunggu polis bawa ke klinik,” katanya semasa sidang media hari ini.
Pada 1 Julai lalu, Ismail Sabri memaklumkan 1,400 individu yang baru pulang dari luar negara dan diarahkan untuk dikuarantin di rumah gagal untuk hadir membuat saringan Covid-19 kali kedua.
Mereka diarahkan untuk membuat saringan Covid-19 kedua pada hari ke-13 dikuarantin dan menyerahkan keputusan masing-masing di Pejabat Kesihatan Daerah terdekat pada hari ke-14.
Kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 342.- MalaysiaGazette