Semua premis dan pasar raya diwajibkan beroperasi mengikut waktu perniagaan sebelum PKP, menggunakan aplikasi MySejahtera, pemakaian pelitup muka dalam kalangan pekerja terutama pegawai keselamatan perlu ditukar setiap hari.- Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDNHEP WPKL) mengingatkan pengurusan semua pasar raya di ibu negara mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

Pengarahnya, Ariffin Samsudin berkata, SOP itu telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan dalam masa yang sama perlu mematuhi semua keputusan yang telah dipersetujui oleh Crisis Management Centre Kuala Lumpur (CMCKL)  yang bertanggungjawab penuh atas pengurusan Bencana Covid-19 di Kuala Lumpur.

Ariffin Samsudin (kanan).

Tegas beliau, semua premis dan pasar raya diwajibkan beroperasi mengikut waktu perniagaan sebelum PKP, menggunakan aplikasi MySejahtera, pemakaian pelitup muka dalam kalangan pekerja terutama pegawai keselamatan perlu ditukar setiap hari.

“Pada masa sama, mereka juga digalakkan menasihati pelanggan menggunakan pelitup muka,  penggunaan pengimbas thermal berketepatan tinggi dan pengimbas digital selain menyediakan stokin pakai buang dan plastik bagi tujuan fitting atau mencuba kasut,” katanya dalam satu kenyataan  hari ini.

Sesi bersama pengurusan pasar raya itu berlangsung baru-baru ini turut memaklumkan kepada semua pihak berkepentingan untuk merancakkan kembali ekonomi negara selepas krisis Covid-19.

Dalam sesi itu, Ariffin mengingatkan agar semua pasar raya di Kuala Lumpur kembali aktif dan meningkatkan promosi bagi menggalakkan jualan dan meraikan semula kehadiran pelanggan seperti sebelum PKP.

“Pasar raya di Kuala Lumpur diminta untuk mengambil peluang sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal menjelang dengan mengadakan pelbagai promosi hari raya dengan mengadakan jualan murah dan menghidupkan suasana membeli-belah hari raya yang tertangguh semasa Aidilfitri.

“Pasar raya di Kuala Lumpur perlu sama sama membantu kerajaan merancakkan semula ekonomi.

“KPDNHEP WPKL akan bersama membantu semua pasar raya di Kuala Lumpur untuk menjana semula ekonomi dan sektor peruncitan supaya kembali rancak dan KPDNHEP telah menyediakan perancangan yang akan dilancarkan dalam masa terdekat ini,” katanya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast