PR1MA - Gambar hiasan

KUANTAN – Seorang peniaga membuat laporan polis selepas mendakwa diperdayakan sepasang suami isteri dalam urusan pembelian rumah mampu milik Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sehingga kerugian RM10,897.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 50 tahun mendakwa suspek yang dikenalinya sekitar Januari 2019 difahamkan boleh membantu mendapatkan rumah itu atas kuota pemaju.

“Mangsa mendakwa berminat untuk membeli dua buah rumah itu yang dibangunkan berhampiran bandar Kuantan selepas suspek memaklumkan boleh menolong mangsa berbuat demikian tanpa perlu membuat pinjaman bank.

“Suspek juga dikatakan telah menawarkan rumah teres setingkat lot tepi pada harga RM179,900 seunit dan mangsa mendakwa telah membuat bayaran proses secara berperingkat bagi tujuan pembelian,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa bagaimanapun mulai curiga selepas tidak menerima dokumen perjanjian atau resit bayaran proses selain tidak dimaklumkan mengenai perkembangan proses pembelian, sebelum mendengar cerita bahawa suspek lelaki itu banyak menipu dalam pelbagai urusan jual beli.

Usaha mangsa untuk mendapatkan penjelasan daripada suspek sekitar Jun lepas juga gagal apabila suspek didakwa sering mengelak daripada bertemu atau menjawab panggilan telefon.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini semalam, dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast