Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memberi amaran keras akan membatalkan kelulusan pas yang dikeluarkan kepada warga asing sekiranya mereka mengeluarkan kenyataan tidak tepat dengan tujuan memburukkan imej negara.

Justeru, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, meminta pemegang pas jangka panjang seperti pas penggajian, lawatan kerja sementara dan pas residen supaya berhati-hati semasa mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Mereka berdepan risiko pembatalan pas dan akan diminta meninggalkan negara ini serta-merta, jika kenyataan berkenaan tidak tepat dan bertujuan memburuk-burukkan imej Malaysia,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ yang diterbitkan oleh agensi berita Al Jazeera.

Khairul Dzaimee berkata laporan mengenai operasi JIM semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disifatkan agensi berita antarabangsa itu sebagai rasis dan tidak berperikemanusiaan adalah tidak benar kerana tidak mengambil kira fakta sebenar.

“Operasi imigresen di sekitar Jalan Masjid India, di sini, pada 1 Mei lepas telah memeriksa seramai 3,352 warga asing, namun jumlah yang ditahan untuk siasatan lanjut hanya 586 orang.

“Kerajaan Malaysia juga telah memberi rawatan secara percuma kepada 773 warga asing yang didapati positif COVID-19 di Depot Tahanan Imigresen (DTI) dan terdapat kedutaan asing yang memuji tindakan ini serta mengucapkan terima kasih,” katanya.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani COVID-19.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. tak payah bagi amaran laaaa..lembik lah duk bagi amaran terus..halau jer keluar…

Comments are closed.