PELABUHAN KLANG – Penyalahgunaan lesen bot laut dalam tempatan antara kesalahan yang dikesan Kementerian Dalam Negeri (KDN) antara punca berlakunya pencerobohan bot asing di perairan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, penyalahgunaan itu bukan perkara baharu dan ia digunakan oleh nelayan asing untuk mengaburi mata penguatkuasa Malaysia.
“Masalah pencerobohan bukan hanya setakat masalah kita dengan negara jiran, tetapi juga masalah rakyat Malaysia sendiri.
“Apabila kita lakukan siasatan, saya nampak kadang-kala rakyat kita yang dapat lesen untuk perikanan laut dalam ini, telahpun menyalahgunakan lesen ini.
“Salah satu masalah yang kita hadapi, bukan hanya pencerobohan dari luar tetapi juga penyalahgunaan lesen yang kita berikan untuk rakyat Malaysia sendiri.
“Beberapa hari lepas ini, kita tangkap satu bot nelayan Vietnam, kita tengok dari jauh seolah-olah ianya kapal yang dipunyai oleh rakyat Malaysia, dia naik bendera Malaysia.
“Apabila kita tangkap, kita dapati bukan hanya bukan warga Malaysia, lesen pun tak ada daripada rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Dalam pada itu, sejak empat bulan lalu, sebanyak 108 bot nelayan yang ditangkap, 80 buah daripada merupakan nelayan warga asing dari Vietnam.
“Kebanyakan orang luar cuba untuk mengambil hasil laut kita
“Mereka pun tahu kita kurang dari segi aset-aset dan kadang-kala kita terpaksa gunakan aset kita untuk tujuan lain
“Kita telahpun mengambil tindakan, kita sudah tangkap (nelayan asing). Daripada tangkapan itu, kita bawa mereka ke mahkamah,” katanya.
Katanya lagi, rakyat Malaysia sepatutnya yakin dengan kemampuan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan hanya menjaga sempadan negara bahkan hasil mahsul daripada dirampas pihak asing.
“Mereka (bot asing) lakukan kerana mereka menyangkakan bahawa kita ada longgar dari segi operasi ini.
“Kerana itu yakinlah bahawa rakyat sepatutnya yakin dengan Kerajaan PN ini yang bertungkus-lumus bukan hanya menjaga sempadan.
“Bahkan kita juga menjaga hasil bumi negara kita terutamanya lautan luas yang mempunyai hasil agak lumayan untuk nelayan-nelayan kita pada masa hadapan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette