Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bergambar kenangan ketika hadir melawat lukisan mural baginda di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam. foto FAREEZ FADZIL, 10 JULAI 2020.

SHAH ALAM – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan berangkat melawat mural gergasi di Taman Cahaya Alam, di sini.

Mural gergasi yang diabadikan di dinding sebuah bangunan kedai di sini turut menarik minat Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah yang sama berangkat tiba. Turut mengiring baginda dalam lawatan tersebut Tengku Puteri Iman Afzan dan Tengku Muhammad lskandar Ri’ayatuddin Shah.

Baginda meluangkan hampir 30 minit beramah mesra dan berinteraksi bersama tiga pelukis muda yang pada mulanya telah menghasilkan potret YDPA, sebelum lima lagi pemimpin utama negara.

Antara tiga pelukis mural terbabit ialah Muhammad Suhaimi Ali, Muhamad Firdaus Nordin dan Abdul Hadi Ramli.

Lukisan potret itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada Al-Sultan Abdullah di atas sifat ketinggian peribadi dan kerendahan hati serta kewibawaan tinggi Seri Paduka Baginda sebagai ketua negara.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah ShaH dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar kenangan ketika hadir melawat lukisan mural baginda di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam. foto FAREEZ FADZIL, 10 JULAI 2020.

Keberangkatan tiba keluarga DiRaja adalah di atas inisiatif YDPA sendiri dan mencerminkan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap golongan belia negara.

la sekali gus mencerminkan keperibadian tinggi Seri Paduka Baginda menyantuni ketiga-tiga pelukis itu dan menghargai usaha murni dan hasil titik peluh serta seni mereka yang telah mendapat sambutan hangat dan tular di media sosial.

Dalam lawatan itu juga, A-Sultan Abdullah berkenan menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada tiga-tiga pelukis yang di atas cara mereka mengekspresikan penghargaan kepada pemimpin-pemimpin yang telah banyak berjasa kepada negara.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (dua kiri) berkenan bergambar kenangan bersama pelukis-pelukis, Muhammad Suhaimi Ali (kiri), Firdaus Nordin (dua kanan) dan Abdul Hadi Ramli (kanan) ketika hadir melawat lukisan mural baginda di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam. foto FAREEZ FADZIL, 10 JULAI 2020.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar usaha-usaha tiga-tiga pelukis itu menjadi contoh, sumber inspirasi dan teladan kepada golongan belia negara untuk lebih menghargai pemimpin dan negara serta menggunakan masa yang ada dengan baik-baiknya.

Ketiga-tiga pelukis tersebut turut menghasilkan potret Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Kesemua lukisan itu sebagai tanda penghargaan mereka kepada pemimpin-pemimpin berkaitan dengan usaha-usaha memastikan keselamatan dan kesejateraan rakyat terjamin berikutan penularan wabak COVID-19. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast