Walid ketika remaja, gambar ini dirakam semasa hari raya.

Marhaba… Hari Bapa baru sahaja berlalu. Katanya Hari Bapa ini diadakan bagi memperingati jasa serta pengorbanan kaum bapa dalam membesar serta mendidik anak anak.

Bagus juga hari sebegini diwujudkan. Bagi Che Pah ia idea yang baik. Cuma bagi Che Pah, setiap hari adalah Hari Ibu dan Hari Bapa.

Mengapa Che Pah berkata sedemikian? Ini kerana bagi anak seperti kita, setiap hari kita wajib mengingati mereka.

Tidak kira samada mereka masih hidup di bumi yang nyata atau telah kembali kepada Yang Maha Mencipta.

Jika telah tiada, hadiahkan Al Fatihah buat mereka. Namun andai masih ada, hubungi mereka sentiasa.

Ada pepatah Melayu berkata, orang tua ini umpama Quran buruk. Hendak dibaca tidak boleh lagi. Hendak dibuang bimbang ketulah.

Itulah perumpamaan bagi ibu dan bapa kita. Dalam diri mereka terkandung segala ilmu kehidupan. Ilmu kehidupan ini kemudian dicurahkan kepada kita. Untuk itu kita tidak boleh derhaka.

Martabat ibu dan bapa amat tinggi Allah letakkan. Redha Ku adalah redha ibu dan bapa kamu, firman Allah.

Kata Allah lagi, jika kamu mencari redha Ku, terlebih dahulu jemputlah redha dari orang tua kamu.

Che Pah pernah diberi peluang paling manis oleh Allah bersama Walid Che Pah. Kenangan ini terakam kemas dalam sanubari Che Pah.

Manisnya kenangan ini sehingga ia mampu menitiskan air mata Che Pah kala mengenangkannya.

Walid seorang bapa yang sangat tegas lebih lagi hal agama. Walid tekankan bab agama sejak kami kecil lagi. Walid pasak cukup cukup dalam diri kami tiga beradik.

Hal solat jangan cakap lagi. Boleh jadi satu kesalahan besar jika kami melengah apatah lagi meninggalkannya. Macam halilintar suara Walid bertempik jika kami tinggalkan solat.

Pernah Walid mengajar kami bertiga beradik mengaji. Allah saja yang tahu betapa takutnya Che Pah.

Apa tidaknya, mengaji belum mula tapi rotan sudah siap diletak sebelah rehal. Kecut perut tak boleh nak cakap.

Walid ajar mengaji cukup tegas. Kami kena ikut sebutan Arab yang betul. Sebutan Walid pedas slang Arabnya.

Kala kami salah sebut, rotan hinggap di paha. Bercucur air mata keluar. Belum habis mengaji, helaian Quran sudah basah dek air mata.

Tetapi hasilnya, kini Alhamdulillah kami dapat mengaji dengan sebutan yang betul. Kala ke sekolah agama, kami sudah tidak sesukar kawan lain kala tiba masa untuk mengaji.

Setiap malam pula kami diwajibkan ratib. Sebelum azan Maghrib kami sudah kena siap. Bentang sejadah lantas tunggu Walid untuk solat berjemaah.

Usai solat, Walid bimbing kami dengan Ratib Al Haddad. Sehingga kini ratib tersebut mendarah daging dalam diri kami. Syukur pada Allah.

Bab pelajaran juga Walid tidak leka. Walid mahu kami bertiga beradik mahir Bahasa Inggeris. Setiap hari akhbar The New Straits Times jadi bahan bacaan kami.

Setiap hari Walid beri tugasan. Kami kena baca satu artikel dan buka kamus Dewan jika tidak faham. Dari situ kami berupaya mempertingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris .

Che Pah sebenarnya tidak berapa rapat dengan Walid sejak kecil. Che Pah lebih rapat dengan Umi dan nenek yang Che Pah panggil Emak.
.
Umi dan Emak adalah dua sosok yang banyak mempengaruhi keperibadian Che Pah. Emak didik Che Pah perihal ilmu rumahtangga dan petua. Manakala Umi ajar Che Pah selok belok berniaga.

Abang dan adik Che Pah sangat rapat dengan Walid. Abang banyak belajar pelbagai jenis amalan dari Walid.

Ada masa senggang di malam hari, Walid akan ajar Abang berzapin. Walid mahu Abang tahu berzapin bagi meneruskan tradisi bangsa.

Che Pah tak berkesempatan untuk belajar. Pertama kerana Che Pah kurang minat. Keduanya pula kerana banyak masa Che Pah gunakan untuk membantu Umi dalam hal perniagaan.

Che Pah tidak sampai hati melihat Umi keseorangan membuat bipang ataupun gula gula Arab.

Tidak tegar rasanya juga membiarkan Emak mengemas rumah keseorangan. Maka itu Che Pah sengseng lengan dan turun padang untuk membantu.

Dalam ketegasan Walid mendidik kami, di sebaliknya tersembunyi jua sifat pengasih Walid.

Masa kecil dulu, setiap malam ada sahaja hadiah yang Walid akan bagi kepada kami tiga beradik. Kadang kadang dapat pop corn. Sesekali dapat buah epal merah.

Dulu, kedua dua makanan ini kami iktiraf sebagai barang mewah. Mungkin budak budak sekarang kehairanan jika Che Pah katakan ia barang mewah.

Dulu tidak seperti sekarang. Dulu semuanya susah untuk didapatkan. Kami sangat menghargai sesuatu. Budak budak sekarang sudah hilang rasa thrill.

Semua dirasa seolah tiada istimewa lagi. Sangking mudahnya untuk dapatkan sesuatu. Hilang sudah rasa seronok seperti kami dulu.

Ditakdirkan Allah, dipenghujung usia Walid, Che Pah telah diberi peluang keemasan untuk menjaga Walid. Satu kewajipan yang tak pernah Che Pah terfikirkan.

Itulah dia. Kita sebagai hamba hanya merancang. Bakal menentukan Sang Khalik jua.

Kesihatan Walid mula merosot selepas Walid didapati menghidap ketumbuhan tumor di saluran makan atau esofagus.

Tiga kali stanting dimasukkan bagi membuka kembali laluan saluran makan yang tertutup akibat tumor. Selepas itu, doktor tidak mengesyorkan untuk kami melakukannya lagi.

Ia boleh membahayakan Walid. Akhirnya doktor menasihati agar bahagian diperut Walid ditebuk lantas dimasukkan tiub makan.

Ini bermakna Walid langsung tidak boleh makan menggunakan mulut lagi. Saluran makan Walid sudah tertutup dek tumor. Setitis air pun sudah tidak mampu untuk masuk ke perut.

Agak sukar juga Walid mahu menerima kenyataan pada mulanya. Bayangkan betapa hausnya tekak jika tidak boleh minum.

Melalui tiub makan, hanya makanan berbentuk cecair sahaja dibenarkan. Bermakna tamat sudah nasi bertabur serbuk kacang tanah atau pun lontong untuk Walid.

Kedua dua ini makanan kegemaran Walid. Ia hanya tinggal kenangan buat Walid.

Pernah pada satu Hari Raya, Walid rindu mahu mencicipi keenakan ketupat berserta kuah kacang.

Tak sampai pula hati Che Pah. Apa yang Che Pah boleh buat ialah, Che Pah suapkan ketupat dengan kuah kacang ke mulut Walid.

Selepas Walid kunyah, Che Pah minta Walid luahkan semula. Cukup sekadar untuk Walid rasa. Tumpah air mata Che Pah kala menyuapkan ketupat ke mulut Walid.

Che Pah dapat bayangkan betapa sukar untuk Walid menerima kernyataan itu. Namun Che Pah lihat Walid tenang.

Kata, Walid, cukuplah sekadar merasa walau tidak mampu untuk ditelan. Walid kata, Allah sudah tarik nikmat makan dan minum. Kedua dua ini hak Allah Walid kata.

Sampai masa Allah ambil semula jelas Walid dengan penuh rasa redha. Che Pah tenung muka Walid. Dalam hati Che Pah terus berdoa agar Allah panjangkan usia Walid.

Che Pah mahu terus jaga Walid. Che Pah mahu terus berkhimat untuk Walid yang menjadi asbab Che Pah ada di atas bumi Allah ini.

Che Pah tahu tugas menjaga orang tua yang kurang sihat bukan sesuatu yang ringan
Ia sebuah tugasan yang mencabar.

Namun di waktu itu Che Pah yakin satu perkara. Jika Allah sudah takdirkan untuk Che Pah menggalas tanggungjawab ini, bermakna Allah telah sediakan segala kekuatan zahir dan batin buat Che Pah.

Sebelum Walid semakin uzur, Che Pah berusaha membawa Walid berubat. Kedua dua cara perbuatan Che Pah cuba.

Perbuatan moden di hospital Che Pah cuba. Perbuatan tradisional juga Che Pah tak sisihkan Allah mahu kita berusaha.

Che Pah bawa Walid berubat dengan Sengseh atau perbuatan Cina di Kuala Pilah. Setiap minggu Che Pah berulang ke sana.

Che Pah bawa Walid berubat tradisional untuk tumor di Bemban, Melaka dan Muar. Tak cukup disitu, Che Pah usung Walid setiap minggu ke Beranang bertemu dengan seorang Ustaz.

Semua usaha ini dilorongkan Allah untuk Che Pah cuba semata mata untuk membantu agar Walid sihat seperti sedia kala dan tumor Walid tidak merebak.

Namun kita sebagai hamba hanya merancang. Allah sudah punya aturanNya sendiri. Allah tahu apa yang terbaik buat Walid.

Ikuti sambungan kisah Che Pah dan Walid pada keluaran Ahad nanti. Akan Che Pah cerita kenangan terakhir Che Pah bersama Walid yang lebih menyayat hati namun amat manis kala dikenang kini. – MalaysiaGazette