PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan terdapat 13 kes baharu positif Covid-19 yang mana lapan daripadanya merupakan kes import manakala selebihnya penularan tempatan.
Enam daripada lapan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara adalah warganegara Malaysia manakala dua lagi permastautin tetap.
Bagi jangkitan penularan tempatan, tiga kes adalah warganegara manakala bakinya bukan warganegara.
Dalam pada itu Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah turut mengesahkan sebanyak 12 kes telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj hari ini.
“Jumlah kes kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah 8,511 kes bersamaan 97.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya ketika sidang media hari ini.
Sehingga kini menurutnya, dua orang pesakit wabak Covid-19 masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.
Noor Hisham turut memaklumkan tiada pertambahan kematian akibat wabak berkenaan pada hari ini.-MalaysiaGazette