Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengumumkan Jumaat hari ini sebagai Hari Jawi.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengumumkan Jumaat hari ini sebagai Hari Jawi.

Keputusan yang mendapat persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri Rabu lalu itu turut menzahirkan iltizam untuk menggunakan tulisan Jawi pada kepala surat rasmi jabatan itu, termasuk media rasmi agensinya.

Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Menterinya, Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, langkah diambil itu sebagai usaha mengekalkan dan memperkasakan sebahagian tradisi serta kebudayaan yang membentuk Malaysia sehingga ke hari ini.

Mulai Jumaat hari ini diumumkan Hari Jawi bagi Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama.

“Tulisan Jawi menjadi bahasa perantara dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat, perdagangan dan urusan seharian masyarakat sejak dulu.

“Tulisan ini turut diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, iaitu tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi; dengan syarat ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi bagi bahasa kebangsaan”.

“Justeru, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menguar-uarkan kempen Hari Jumaat Hari Jawi bermula 10 Julai, iaitu hari ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Dr. Zulkifli, usul itu telah dibawa dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai lalu dan mendapat sokongan penuh dari semua Ahli-Ahli Jemaah Menteri.

Di samping itu, katanya, penggunaan tulisan Jawi di media sosial juga diperluaskan kepada setiap media sosial rasmi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama.

“Saya menyeru seluruh kementerian, jabatan, agensi di peringkat Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama dalam usaha memelihara warisan negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.