KUALA LUMPUR – Ketua pasukan Perak yang juga pertahanan skuad kebangsaan, Shahrul Saad mendedahkan tiga individu yang memberi pengaruh besar kepada dirinya sebelum mampu menjadi sepertimana hari ini.
Jelasnya, dua daripada tiga inivididu terbabit ialah abang-abangnya iaitu Syamsul Saad dan Shahrizal Saad selain bekas pemain import Perak dari musim 2015 ke 2017, Thiago Junio Aquino.
Sejak daripada kecil lagi, Shahrul mengakui kedua-dua abangnya itu menjadi inspirasi kepada dirinya untuk bergelar sebagai pemain bola sepak yang berjaya satu hari nanti dan dia kini gembira kerana mampu mengikut jejak langkah Syamsul serta Shahrizal.
“Boleh dikatakan kedua-dua abang saya menjadi idola saya sejak kecil kerana mereka yang membuatkan saya ingin bermain bola sepak sehingga ke tahap hari ini.
“Ikutkan hati, saya teringin bermain dengan mereka dalam satu pasukan tetapi apakan daya, jarak umur antara kami bertiga agak jauh dan membuatkan impian itu tidak kesampaian.
“Walaupun saya kini telah bermain banyak kali di peringkat kebangsaan kebangsaan, mereka berdua tetap menjadi rujukan saya kerana tanpa mereka, tidak mungkin saya boleh berjaya seperti mana yang sedang dilalui sekarang,” katanya yang berusia 27 tahun.
Syamsul merupakan pemain pertahanan Perak pada musim 2000 hingga 2008 sementara Shahrizal beraksi di posisi penyerang serta pernah beraksi dengan banyak pasukan seperti Perak, Johor FC, Felda United dan Negeri Sembilan.
Mereka berdua berada dalam senarai Pilihan Best XI Shahrul pada minggu ini selain penjaga gol, Farizal Marlias diikuti Thiago Junio, Nazirul Naim Che Hashim dan Rizal Ghazali bersama Syamsul di bahagian pertahanan.
Di bahagian tengah melalui formasi 4-3-3, Shahrul meletakkan Shukor Adan, Safiq Rahim dan Brendan Gan sementara posisi penyerang dibarisi Shahrizal, Safawi Rasid dan Indra Putra Mahayuddin.
Mengenai Thiago, Shahrul mengakui secara jujur belum pernah menjumpai pemain import seperti mananya kerana tidak lokek memberikan ilmu selain tampil dengan semangat yang luar biasa tiap kali turun menyarung jersi Perak.
Sepanjang dua musim bergandingan dengan Thiago iaitu pada 2016 dan 2017, banyak perkara baharu telah dipelajarinya tiap kali mereka beraksi yang menjadikan dia ada rasa terhutang budi dengan segala nasihat pernah diberikan Thiago.
“Thiago adalah pemain import pertama di Perak yang saya bergandingan dan terus terang banyak benda yang saya telah dapat daripadanya sehingga mematangkan corak permainan.
“Dia sentiasa membantu Perak di saat genting dengan membantu barisan serangan mendapatkan jaringan dan biarpun sudah berusia, semangatnya memang tinggi daripada pemain-pemain lain sehingga sanggup buat apa sahaja demi pasukan.
“Dia juga seorang yang merendah diri dan peramah, satu sikap yang jarang dijumpai terhadap mana-mana import lain sehingga sekarang dan karakter ada pada dirinya juga banyak mempengaruhi gaya permainan saya,“ katanya. – MalaysiaGazette