J. Solomon, Setiausaha Agung MTUC

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyifatkan keputusan kerajaan menyemak had pendapatan garis kemiskinan (PGK) kepada RM2,208 satu langkah berani.

Setiausaha Agungnya, J. Solomon, ia bermakna bermakna kadar
kemiskinan negara di tahap lebih realisitik pada 5.6 peratus.

“Kita gembira terhadap kesediaan Putrajaya membuat penyelarasan penting kerana kadar kemiskinan 0.4 peratus yang diuar-uarkan sebelum ini adalah berdasarkan metodologi pengiraan lapuk yang gagal menggambarkan sejauh mana seriusnya masalah itu.

“Sudah pasti, MTUC mengalu-alukan perakuan kerajaan bahawa PGK RM980 adalah terlalu rendah dan bertindak menaikkannya kepada RM2,208 berdasarkan keperluan semasa yang menekankan kepada pengambilan makanan optimum dan keperluan asas bukan makanan yang lebih berkualiti selain 146 item bukan makanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Solomon, MTUC yakin kerajaan bersetuju bahawa PGK baharu RM2,208 itu dapat dipertingkatkan lagi, memandangkan ia adalah penanda aras bagi sebuah keluarga empat beranak untuk hidup secara aktif dan sihat.

“Penambahbaikan ini juga bagi menampung peningkatan kos
sara hidup di kawasan bandar yang mana 75 peratus daripada
rakyat negara ini bekerja.

“Kebanyakannya mereka bergaji rendah dan dibebani hutang isi rumah yang tinggi akibat kos sara hidup
melambung,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, kata Solomon, angka PGK sebanyak RM2,208 itu adalah kurang daripada gaji bulanan RM2,700 yang telah disaran oleh MTUC untuk diambil kira dan diperbetulkan oleh kerajaan sebagai had minimum gaji wajar khususnya di kawasan bandar.

Namun, katanya, tindakan mewujudkan indeks baharu untuk PGK yang melebihi dua kali ganda daripada pendapatan bulanan yang
ditetapkan sebelum ini mencerminkam komitmen kerajaan untuk
menangani kemiskinan bersandarkan data lebih realistik.

“Ini amat penting kerana kemiskinan semakin mencengkam 15 juta tenaga kerja Malaysia sejak bertahun-tahun lamanya dan lebih ketara sekarang berikutan keadaan ekonomi suram akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Sehubungan itu, MTUC berharap dengan adanya PGK baharu itu
akan dapat menghasilkan dasar-dasar berkesan yang dapat mewujudkan pekerjaan serta membolehkan pekerja menerima gaji atau upah serta kemudahan lebih baik, serta meningkatkan jumlah simpanan KWSP sebagai persiapan untuk bersara.

“Mereka yang masih dibelenggu kemiskinan adalah daripada
kumpulan pekerja B40 dan M40 yang mana gaji mereka telah sekianlama tepu dan tidak mampu menampung kos sara hidup yang tinggi sekali gus memaksa mereka menanggung hutang isi rumah yang tinggi.

“Inilah faktor yang telah melonjakkan kemiskinan bandar di
Malaysia,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast