Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 JULAI 2020.

KUALA LUMUR – Siapa undi, siapa undi? Mana undi dia? Siapa kira undi dia?

Kerajaan pintu belakang, Speaker pun pintu belakang.

Itu antara teriakan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang membantah pelantikan Azhar Azizan Harun sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu.

Namun bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu tenang mengangkat sumpah dan terus menyampaikan ucapan aluan pelantikan di sebalik suasana kecoh dan teriakan mempertikaikan tindakannya menerima jawatan tersebut.

Lebih menarik lagi Azhar mengambil tindakan tegas mengarahkan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad keluar dewan sehingga persidangan selesai kerana mengganggu suasana.

Ketika menyampaikan ucapan Azhar menyifatkan pelantikan tersebut sebagai penghormatan yang tinggi dan beliau berjanji akan menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin.

Beliau juga mengingatkan ahli-ahli Parlimen tanpa mengira penyokong kerajaan mahu pun pembangkang supaya berbahas dengan penuh tanggungjawab ke arah kebaikan negara.

Azhasr juga berpandangan bahawa majoriti tipis kerajaan Perikatan Nasional sekarang sebagai pemangkin analisis dan perdebatan yang dinamik bukan sebagaimana pandangan sesetengah pihak yang melihat keadaan semasa semasa sebagai petanda ketidakstabilan kerajaan.

Ketika mengumumkan tentang kekosongan jawatan Timbalan Speaker berikutan peletakan jawatan Nga Kor Ming, Azhar turut berhadapan dengan hujah Gobind Singh Deo yang merupakan Ahli Parlimen DAP Puchong.

Gobind berhujah tentang tatacara pelantikan pengganti Kor Ming sebaik sahaja nama Datuk Seri Azalina Said dicadangkan sebagai Timbalan Speaker yang baharu.

Menjawab perkara 4 (1) dalam Peraturan Mesyuarat yang dibangkitkan Gobind, Azhar menjelaskan, kerajaan telah pun menghantar nama Azalina 14 hari sebelum dewan bersidang manakala pembangkang pula tidak mencadangkan nama sesiapa pun.

Sebaliknya, menurut Azhar, berdasarkan paparan berita di media-media, pembangkang menyatakan pendirian untuk menyokong tindakan Kor Ming. – MalaysiaGazette