KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) memandang serius sindiket penipuan yang bergerak aktif dengan mengarahkan mangsa membuat bayaran tertunggak Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) melalui surat palsu yang menggunakan nama dan logo LHDNM bagi memperdayakan orang ramai.

Surat palsu tersebut mengandungi butiran peribadi mangsa termasuk maklumat perbankan dan amaun cukai tertunggak yang perlu dibayar serta turut dilengkapi dengan tandatangan palsu pegawai LHDNM.

Mangsa bagaimanapun boleh mengenalpasti surat palsu ini dengan mudah kerana perihal SST adalah dikendalikan oleh agensi lain dan bukannya di bawah kendalian LHDNM.

Contoh surat palsu yang dialamatkan kepada mangsa adalah seperti pada gambar.

Sehubungan itu, LHDNM menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan setiap panggilan, e-mel mahupun surat yang meragukan dengan mendapatkan pengesahan daripada LHDNM terlebih dahulu.

Sebarang bayaran cukai juga hendaklah dibuat terus ke akaun LHDNM dan bukannya melalui akaun peribadi individu mahupun pihak ketiga, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast