APAKAH semakin maju sesebuah negara itu, semakin kurang atau hilang nilai
kemanusiaan dalam kalangan warganya? Penulis mengajukan soalan ini pada diri
sendiri dan juga kepada seluruh rakyat Malaysia setelah membaca dua laporan berita
yang menggemparkan. Dua berita tersebut ialah pertama, kes seorang bapa yang
dilaporkan merogol serta melacurkan anak perempuannya berumur 13 tahun di
kediaman mereka di Kajang sejak tiga tahun lepas. Berita kedua ialah, tindakan tidak
berperikemanusian dan kejam seorang lelaki yang membunuh tiga ekor kucing
dengan cara melemaskannya di dalam mesin basuh di sebuah kedai dobi layan diri di
Kepong.
Apa perasaan kita bila membaca dua berita ini? Jika kita seorang manusia yang
waras, rasional dan mempunyai hati dan perasaan, pastinya akan marah, geram dan
sakit hati dengan tindakan dua lelaki durjana ini. Malah tidak keterlaluan untuk
dikatakan mereka ini tidak layak lagi digelar manusia. Hal ini kerana apapun alasan
dan justifikasi mereka, kita tidak boleh menerima perbuatan kejam dan keji seperti
ini.
Ironinya dua insiden ini bukanlah kejadian yang pertama kali berlaku dalam
masyarakat kita. Sebelum ini sudah ada banyak kes bapa dan ahli keluarga sendiri
yang merogol anak kandung atau anak tiri termasuklah pernah melacurkannya.
Begitu juga halnya dengan tindakan kejam terhadap haiwan di mana sebelum ini
sudah ada kejadian yang mirip seperti ini juga di kedai dobi dan individu yang
terbabit sudahpun dibawa ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukuman. Jadi
persoalannya kenapa anggota masyarakat kita tidak pernah serik ataupun
mengambil iktibar dan pengajaran dengan kejadian sebelum ini?
Hakikatnya insiden seperti ini membabitkan aspek sikap dan tingkah laku seseorang
individu yang mungkin sudah sebati dalam dirinya sekali gus sukar diubah. Sikap
seperti mementingkan diri, terlalu cepat marah dan mudah naik angin serta tidak
pedulikan nilai-nilai kemanusiaan dilihat mula menguasai anggota masyarakat kita.
Individu seperti ini memang sukar dididik melainkan diberikan pengajaran yang
sewajarnya melalui hukuman yang setimpal di sisi undang-undang.
Dalam konteks yang sama, penulis juga risau apakah sikap dan tingkah laku
segelintir rakyat kita ini turut berpunca daripada situasi kemajuan yang dicapai oleh
negara ini yang tidak seimbang dengan kemajuan nilai-nilai kemanusiaan, adab dan
kesusilaan. Apakah selama ini kita terlalu mementingkan kemajuan fizikal sehingga
lupa kepada keperluan didikan agama dan pembentukan sikap serta nilai
kemanusiaan yang sewajarnya. Ringkasnya, apakah ini harga yang perlu kita bayar
untuk sebuah kemajuan yang sedang kita kecapi sekarang?
Jujurnya penulis bimbang dan risau jika keadaan seperti ini terus berlaku dalam
masyarakat kita. Jangan lupa hampir setiap hari juga kita disajikan berita-berita
konflik kekeluargaan yang lain seperti anak pukul atau belasah ibu bapa, penderaan
anak oleh ibu bapa serta kadar perceraian yang tinggi. Insiden seperti ini juga sangat
berkait rapat dengan cara didikan dan pembentukan seseorang individu. Harus
diingat, jika bukan kerana salah didikan, kenapa bapa yang sepatutnya menjaga dan
melindungi anaknya sanggup merogol dan melacurkannya sendiri? Juga kenapa ada
yang sanggup berlaku zalim kepada haiwan seperti ini?
Jika kita meneliti secara mendalam antara punca segelintir anggota masyarakat kita
memiliki sifat dan sikap yang zalim dan kejam seperti ini adalah kerana kecuaian dan
kelekaan para ibu bapa mereka dalam mendidik dan membesarkan anak masing-
masing. Kita tidak boleh menafikan atau lari dari mengaitkan insiden seperti ini
dengan peranan ibu bapa kerana sudah timbul persoalan apakah ibu bapa zaman
sekarang terlalu sibuk bekerja sehingga lupa atau tidak sempat untuk didik anak-
anak tentang adab dan nilai-nilai murni?
Cukuplah insiden seperti ini berlaku di negara kita. Kita perlu bertindak segera untuk
menghentikan perbuatan seperti ini daripada terus berlaku. Di samping kita berharap
pihak berkuasa akan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada individu yang
zalim seperti ini, besarlah juga harapan kita agar para ibu bapa turut mengambil
iktibar supaya dapat mendidik dan membentuk anak-anak mereka menjadi manusia
yang berbudi pekerti, ada nilai-nilai kesopanan dan kemanusiaan yang sewajarnya.
Ingat, anak yang dilahirkan adalah umpama kain putih, ibu bapalah yang
mencorakkannya.
Janganlah kita terlalu mengejar kemewahan sehingga kita hilang nilai-nilai
kemanusiaan. Apa guna kita menjadi negara yang serba maju tetapi warganya hilang
pedoman, mementingkan diri dan tiada nilai kemanusiaan.
Noor Mohamad bin Shakil Hameed
Pembaca MalaysiaGazette dan Penganalisis Isu Semasa