KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata usul yang dibawa oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Takiyuddin ketika menggulung perbahasan turut mengakui usul seumpama itu adalah yang pertama kali dibentangkan dalam sejarah perjalanan Parlimen Malaysia.
“(Ahli Parlimen) Langkawi (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengatakan bahawa perkara ini adalah pertama kali dalam sejarah Parlimen Malaysia. Memang itu benar.
“Tetapi perkara yang pertama kali, bukanlah perkara yang illegal. Pertama yang pertama kali boleh dilaksanakan berdasarkan kepada Perlembagaan dan undang-undang.
“Sebagai contonya dalam negara kita, tidak pernah berlaku Perdana Menteri interim, tetapi apabila ia telah berlaku kali pertama, ia kita terima.
“Begitu juga dengan masalah di depan kita, bukan memecat Speaker. Masalah di depan kita adalah satu usul mengosongkan kerusi Speaker untuk digantikan dengan Speaker yang lain,” katanya.
Ujar Takiyuddin lagi, usul tersebut walaupun tiada dalam peruntukan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, namun ia dibolehkan dalam Perlembagaan Malaysia.
Oleh yang demikian, usul dikemukakan Muhyiddin yang dibuat di bawah Perkara 57 (2) (c) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Yang Dipertua boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada Setiausaha Dewan Rakyat.
Malah peruntukan itu turut memberitahu Speaker hendaklah mengosongkan jawatannya jika pada bila-bila masa Dewan Rakyat membuat ketetapan sedemikian. – MalaysiaGazette