PUTRAJAYA – Penduduk negara ini mula leka dengan kembali kepada kehidupan biasa tanpa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disarankan kerajaan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham yang bimbang dengan situasi itu berkata, ia seolah olah barah yang masih ada dalam tubuh yang mana Covid-19 masih berisiko untuk kembali merebak sekirnaya rakyat mengambil sikap sambil leka.
“Kita berjaya menggunakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk melandaikan graf lekungan Covid-19.
“Selepas PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat) dan PKP Bersyarat kita melangkah ke PKP Pemulihan (PKPP) yang menyebabkan kita berjaya mengurangkan kes penyebaran.
“Ini hasil berbeza jika dibandingkan negara-negara lain yang mengadakan demonstrasi dan sebagainya, jadi dalam kesihatan awam dan patuh kepada SOP adalah penting,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini.
Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, tiada kes penularan tempatan yang direkodkan hari ini adalah hasil perancangan teliti selama tiga bulan lalu.
Tambah beliau, kebanyakan kes adalah pembawa jangkitan daripada luar negara yang tidak dapat dikawal.
“Namun kebimbangan sekarang adalah rakyat bermula leka dan kembali kepada kehidupan asal tidak mematuhi SOP dan diharap disiplin dan pematuhan mereka terhadap peraturan yang ditetapkan diteruskan dengan bersatu padu,” ujarnya. – MalaysiaGazette