Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Anggaran kos siling terkini projek Rapid Transit System Link (RTS Link) sebanyak RM3.161 billion berikutan beberapa pindaan di dalam komponen utama RTS Link termasuk perubahan dalam sistem MRT kepada LRT, anggaran kos siling terkini projek RTS adalah sebanyak RM3.161 billion.

Kos tersebut, bagaimanapun belum mengambil kira kos pemindahan lokasi depot dari Mandai di Singapura ke Johor Bahru, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di Dewan Rakyat hari ini.

Pemindahan dan pengoperasian depot ini kelak sudah pasti akan menyediakan peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat Malaysia.

Bagi membiayai kos projek ini, kerajaan sedang meneliti beberapa opsyen bagi mendapatkan kaedah pembiayaan terbaik yang menguntungkan negara.

Antara sumber pembiayaan yang sedang diteroka adalah melalui deferred payment atau pembiayaan melalui jaminan kerajaan menerusi DanaInfra Nasional Berhad atau mana-mana syarikat tujuan khas (SPV) yang dirasakan bersesuaian.

Katanya, pembayaran balik pembiayaan ini diperoleh melalui yuran konsesi yang akan dibayar oleh syarikat usahasama pengendali kereta api (JV OpCo) secara berperingkat.

Walau bagaimanapun, kaedah pembayaran balik sebenar akan dipertimbang dan diputuskan oleh Jemaah Menteri sebelum perjanjian dimeterai oleh kedua-dua belah pihak.

Beliau menjawab soalan Loke Siew Fook (DAP-Seremban) yang bertanya bilakah perjanjian Projek Sistem Transit Rapid (RTS) antara Bukit Chagar, Johor Bahru dan Singapura dapat ditandatangani, tarikh jangka mula dan jangka siap pembinaan, kos pembangunan keseluruhan dan cara pembiayaan projek tersebut secara terperinci.

Ka Siong memberitahu, projek yang telah ditangguhkan pelaksanaannya sebelum ini akan dapat dimuktamadkan sebelum 31 Julai 2020, sebagaimana yang telah dipersetujui antara kerajaan Malaysia dan Singapura.

Daripada kemajuan yang dicapai, proses rundingan boleh dimuktamadkan dalam tempoh yang ditetapkan serta persetujuan dan penyelesaian terbaik ke atas isu-isu berbangkit tanpa menjejaskan kepentingan negara,” katanya.

Ka Siong berkata, jajaran RTS Link adalah sepanjang 4 kilometer akan menghubungkan stesen Bukit Chagar bersebelahan JB Sentral, Johor Bahru dengan stesen Woodlands North di Singapura.

Pembinaan RTS Link ini dijangka bermula sejurus selepas kelulusan-kelulusan yang sewajarnya diperolehi iaitu pada Januari 2021 dan dijangka mula beroperasi pada penghujung tahun 2026.

Jelasnya, pembinaan RTS Link ini akan berjalan dalam 2 fasa iaitu dari tahun 2021 hingga hujung tahun 2024 fasa pembangunan dan sivil manakala dari tahun 2025 hingga hujung tahun 2026 pula adalah fasa pentauliahan dan pengujian sistem.

Projek RTS Link bertujuan menawarkan pengangkutan alternatif kepada rakyat yang menggunakan Tambak Johor bagi perjalanan harian antara Johor Bahru dan Singapura. – MalaysiaGazette