Keadaan penghuni yang ramai di Pusat Penempatan Sementara (PPS) banjir boleh membawa risiko penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan mangsa dan petugas.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Keadaan penghuni yang ramai di Pusat Penempatan Sementara (PPS) banjir boleh membawa risiko penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan mangsa dan petugas.

Justeru, langkah-langkah pencegahan Covid-19 perlu diamalkan di PPS di seluruh negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, langkah drastik dan holistik itu perlu diwajibkan di PPS kerana keadaan penghuni yang agak ramai dan sesak itu mampu membawa risiko kepada penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan mangsa dan petugas bencana tersebut.

“Banjir kilat telah berlaku di beberapa kawasan di negeri Johor, Pahang, Selangor dan Melaka. Sehubungan itu, PPS telah dibuka untuk menempatkan mangsa-mangsa banjir di kawasan yang terjejas.

“Setakat ini, 18 PPS telah dibuka di tujuh daerah dan telah menempatkan seramai 1,267 mangsa daripada 303 buah keluarga.

“Keadaan penghuni yang ramai di PPS boleh membawa risiko penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan mangsa dan petugas,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, tambah Noor Hisham, amalan seperti penjarakan sosial yang selamat, mencuci tangan dengan air dan sabun, etika batuk dan bersin perlu diamalkan sepanjang masa oleh petugas dan penghuni PPS.

Penghuni dan petugas juga dinasihatkan supaya mengamalkan 3W dan mengelakkan 3S iaitu kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat sepanjang masa di PPS.

“Justeru, semua PPS perlu menyediakan sabun dan air atau hand sanitizer selain pastikan stesen cuci tangan atau hand sanitizer disediakan di lokasi yang strategik seperti pintu masuk dan keluar PPS dan di dalam PPS,” ujarnya.

Selain itu, katanya, penghadang, kubikel dan khemah juga perlu dijarakkan sekurang- kurangnya dua meter sekiranya ada dan semua PPS perlu menyediakan tiga pelitup muka untuk kegunaan mangsa yang bergejala.

Noor Hisham juga menasihatkan agar semua PPS perlu memastikan poster etika batuk dan bersin, serta hand hygiene yang bersesuaian ditampal di lokasi yang strategik untuk makluman dan peringatan mangsa yang ditempatkan serta anggota yang bertugas.

Beliau memberitahu bahawa makanan disediakan dengan pembungkusan individu dan bekas makanan dan semua PPS perlu memastikan keperluan mangsa terhadap bekalan air bersih dan selamat, serta sanitasi yang baik disediakan.

“Tandas mobil sebagai tambahan kepada tandas sedia ada di PPS;sanitasi kawasan guna sama harus dilakukan kerap; ruang khas dan isolasi perlu disediakan untuk mengasingkan mereka yang bergejala.

“Manakala mangsa banjir yang mendaftar masuk ke PPS yang mempunyai gejala dan sejarah kontak rapat atau pulang dari luar negara akan ditempatkan di ruangan isolasi di PPS,” tegas beliau.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast