Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa diiringi timbalannya, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar (tengah) menyerahkan surat kepada penerima, Muhammad Yusoff Hazizan (dua kiri) pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pekerja Sambilan Harian (PSH) di Menara DBKL, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 15 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR- Kajian semula Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional memberikan cabaran besar kepada kerajaan untuk merangka program-program pembasmian kemiskinan.

Namun begitu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yakin kerajaan mampu melaksanakannya bersandarkan sejarah Malaysia di dalam memerangi kemiskinan sejak merdeka.

Katanya, jika tidak kerajaan boleh mengambil jalan selamat dengan menggunakan PGK lama yang tidak disemak sejak belasan tahun lalu.

Namun, ia mencabar diri sendiri supaya dapat membantu lebih ramai rakyat dengan menyemak semula PGK menggunakan kaedah pengiraan baharu sekali gus mendapatkan hasil yang lebih munasabah.

“Semakan semula ini adalah satu kaedah yang mencabar diri sendiri sebagai kerajaan.

“Jika mahu ambil jalan selamat, kita boleh teruskan mengikut PGK lama supaya kumpulan sasar (yang perlu dibantu) lebih kecil.

“Tetapi kami secara sukarela mahu PGK disemak semula dan ini bermakna kerajaan perlu mengambil tanggung jawab yang lebih besar untuk mengadakan program pembasmian kemiskinan yang melibatkan jumlah keluarga yang lebih ramai,” katanya semasa sidang media selepas menyerahkan surat tawaran kepada Pekerja Sambilan Harian (PSH) hari ini.

Tambah Annuar, kesemua program pembasmian itu akan dapat dilihat dalam pelan lima tahun rancangan Malaysia serta bajet-bajet tahunan yang bakal dibentangkan kerajaan pada masa hadapan.

Jumaat lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia mengumumkan Pendapatan PGK keseluruhan nasional adalah sebanyak RM2,208 sebulan bagi satu isi rumah pada tahun 2019.

Angka itu adalah nilai PGK baharu yang diperolehi setelah kerajaan mengkaji semula kaedah pengiraannya.

Kaedah pengiraan PGK itu kali terakhir dikemaskini pada tahun 2005 dan PGK pada tahun 2016 adalah sebanyak RM980 sebulan bagi satu isi rumah.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast