KUALA LUMPUR – Kisah perceraian pelakon Sharifah Sakinah dan dan bekas suaminya Aliff Adha selepas lima tahun berumah tangga mencuri perhatian apabila rata-rata netizen melemparkan kata-kata hinaan dan kesat terhadap wanita itu.
Isu itu turut mendapat perhatian penyanyi Nourul Wahab yang kesal dengan tindakan sesetengah netizen terbabit.
Nourul, 43, berkata perceraian yang dilalui oleh Sakinah sukar difahami oleh mereka yang tidak pernah melalui fasa itu.
“Terbaca komen-komen berbentuk hencapan kepada adik yang saya kenal sebelum dia popular lagi iaitu Sharifah Sakinah juga kepada kakaknya yang baik hati Sharifah Shahira.
“Saya jadi terkejut dan takut, seram pun ada. Orang tak pernah rasa perpisahan dan perceraian akan sentiasa memerli, akan sentiasa mengata dan sentiasa mengutuk,” tulisnya.
Meluahkan perkara itu di Instagram, Nourul turut menasihati netizen supaya sentiasa menjaga tutur kata agar tidak menyinggung perasaan orang lain.
Ujarnya, tiada manusia yang sempurna dan tiada siapa tahu apa akan terjadi di masa hadapan.
“Jangan kawal hidup orang, tapi kawal hidup kita yang kita tak tahu apa nak jadi pada kita pada masa akan datang. Tengok kain sendiri koyak tak. Tunjuk pada orang guna satu jari, yang datang pada kita empat jari lagi.
“Kata orang macam-macam, tapi sebenarnya bukan orang tu yang kita kata. Tapi kita tunjuk siapa kita sebenarnya. Semoga diberi petunjuk oleh Allah buat kita semua. Tiada siapa yang sempurna. Jadi kita perbaiki diri jadi lebih baik… sesiapa saja,” tulisnya lagi.
Nourul pernah berdepan kegagalan rumah tangga bersama komposer Ajai pada tahun 2007.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Ayu Nazirah kini berusia 21 tahun.
Nourul kemudian berkahwin dengan Eric Daniel Depp pada 2013 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Zachary Depp, 7, Raphael Depp, 5, dan Isabella Depp berusia satu tahun. – MalaysiaGazette