Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat membenarkan pembangkang untuk mengemukakan usul khas bagi membincangkan pelan damai Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk konflik Israel-Palestin.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang mengumumkan keputusan itu berkata, kebenaran itu adalah disebabkan ia merupakan “perkara tertentu”, “berkepentingan orang ramai, dan “perlu”.

“Usul ini akan dibahaskan pada hari ini, 2.30 petang di Kamar Khas. Saya akan benarkan pihak pencadang untuk membahaskan selama 30 minit dan selepas itu pihak kerajaan akan menjawab selama 30 minit,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Usul tersebut dibuat oleh Ahli Parlimen (Ledang-PH) Syed Ibrahim Syed Noh yang dibuat pada 14 Julai lalu.

Syed Ibrahim sewaktu membacakan usul khas minta usul itu diluluskan di Dewan Rakyat atas nama keadilan dan keamanan untuk penduduk Palestin.

Pelan damai Trump terbahagi kepada dua bahagian iaitu ekonomi (terbit 22 Jun) dan politik (terbit Januari).

Rancangan itu dikritik oleh kepimpinan Palestin kerana ia berat sebelah kepada Israel, dan juga majlis penempatan Yahudi di Tebing Barat kerana ia membayangkan penubuhan negara Palestin.

“Ahli Parlimen khususnya dan Malaysia amnya wajib terus bersuara bersama ahli Parlimen sedunia serta masyarakat antarabangsa untuk mengecam Israel dan Amerika Syarikat,” ujar Syed Ibrahim. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Banyak lagi isu kesejahteraan rakyat dalam negara perlu diusul dan dibahaskan…

Comments are closed.