Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengemukakan serta-merta usul bagi menaikkan had statutori hutang 55 peratus.

Ia susulan nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sudah hampir mencecah had berkenaan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu mempunyai ruang fiskal lebih besar dalam usaha negara menangani impak ekonomi Covid-19 tanpa perlu mengambil tindakan tidak wajar seperti menjual aset pada nilai aset yang rendah.

“Kerajaan PN (Perikatan Nasional) perlu ada ruang fiskal lebih besar untuk melawan impak ekonomi Covid-19 tanpa perlu menjual aset negara,” katanya sewaktu berbahas titah ucapan Yang Dipertuan Agung di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Najib, dalam tempoh 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah, nisbah hutang kepada KDNK naik sebanyak 6% dan hampir mencecah had statutori 55% yang ditetapkan.

“Bila kerajaan PH mengambil alih, defisit negara meningkat pada tiap-tiap tahun dan kebergantungan negara kepada hasil minyak juga meningkat kepada 33%.

“Akibatnya, nisbah hutang kepada KDNK yang diturunkan kerajaan BN dahulu ke 48.7% pada suku pertama 2018 sebelum PRU14 telah ‘u-turn’ dan naik sehingga ke 54.4% pada akhir suku pertama 2020.

“Dalam 22 bulan semasa PH sahaja, nisbah hutang kepada KDNK negara naik hampir 6%. Kerajaan PN cuma ada ruang sebanyak 0.6% dari KDNK untuk menghadapi cabaran paling besar Covid-19 ini,” katanya.- MalaysiaGazette