Antara rampasan perhilitan rangka dan hidupan liar yang diburu dibeberapa lokasi hutan oleh tujuh pemburu haram berjaya ditumpaskan.

KUALA LUMPUR – Tujuh individu disyaki pemburu haram yang cuba menyeludup hidupan liar ditahan dalam Operasi Bersepadu Khazanah secara berasingan yang dilaksanakan pada 7 hingga 13 Julai lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kesemua suspek merupakan empat warga tempatan, tiga warga asing.

“Dalam serbuan pertama, seorang warga tempatan ditangkap di Kluang, Johor pada 7 Julai lalu melibatkan rampasan 7.5 kilogram (kg) daging labi-labi, empat unit cengkerang labi-labi dan 4.4 kg daging babi hutan.

“Manakala satu lagi serbuan, tiga orang warga tempatan ditahan di Jerantut, Pahang pada 10 Julai lalu melibatkan rampasan satu kotak berisi rangka hidupan liar, dua laras senapang patah, empat unit jerat dan lain-lain peralatan memburu dan satu lagi serbuan dua orang warganegara Kemboja di Gua Musang, Kelantan ditangkap pada 11 Julai lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Kadir, pihak berkusa merampas sebanyak 15 unit kuku beruang, tiga unit taring harimau, seunit bahagian badan harimau, tiga unit hempedu hidupan liar, satu bahagian tangan Beruang Matahari, satu bahagian daging dan tulang hidupan liar, satu bekas daging hidupan liar, 13 bulu burung liar, lima bahagian sisik tenggiling, dua unit jerat dawai, satu bungkusan kayu gaharu serta peralatan mencari gaharu.

Justeru katanya dalam satu lagi operasi, seorang warga Vietnam ditangkap di Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 11 Julai lalu melibatkan rampasan lima ekor Musang Pulut yang telah dibakar dan pada 13 Julai 2020 sebanyak tujuh unit kuku Beruang Matahari, 97 taring babi hutan dan 69 unit hempedu biawak dirampas.

Menurut beliau, Operasi Bersepadu Khazanah merupakan operasi yang dilancarkan pada 3 September 2019 untuk membanteras pencerobohan, pembalakan haram serta
pemburuan hidupan liar.

Kesemua tangkapan dibuat melalui kerjasama beberapa agensi penguatkuasa iaitu melibatkan anggota dari Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor,Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) serta pertubuhan bukan kerajaan termasuk Malaysian Conservation Alliance for Tigers (MYCAT), Pertubuhan Pelindung Alam Malaysia (PPAM) dan RIMBA dibantu Pasukan Cawangan Risikan dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Polis.

Salah seorang suspek yang ditahan pada 10 Julai lalu di Jerantut, merupakan suspek yang sangat dikehendaki dan sangat aktif di dalam pemburuan gajah, harimau dan spesies hidupan liar yang lain.

Kejayaan menangkap suspek berkenaan, menurut Abdul Kadir, dapat menyelesaikan beberapa kes lain terutama melibatkan pemburuan gajah sejak tiga tahun kebelakangan ini.

“Saya ingin memberi amaran kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti pemburuan haram hidupan liar dan aktiviti pencerobohan agar menghentikan aktiviti terbabit atau bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang yang tegas.

“Kes-kes menyimpan mana-mana hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya dan memiliki jerat akan disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] manakala kes
pencerobohan di dalam hutan simpan akan disiasat di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313].

“Kes pemilikan senjata api pula akan disiasat di bawah Akta Senjata Api 1960,” ujarnya.

Sepanjang pelaksanaan operasi siri 1 hingga Siri 11 tahun 2020, sebanyak 38 kes tangkapan telah dibuat yang melibatkan 50 orang warganegara Malaysia dan 22 orang warganegara asing iaitu enam warganegara Indonesia, tujuh warganegara Kemboja, lima warganegara Vietnam dan empat warganegara Sudan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast