Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang membunuh tiga ekor kucing dengan melemaskan haiwan itu dalam mesin basuh di sebuah pusat dobi layan diri di Kepong pada 12 Julai lalu.
Tertuduh, Muhammad Najwan Zulkefli, 24, membuat pengakuan itu selepas kertas pendakwaan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said dan memohon dibicarakan.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, N. Nageswara manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Nageswara memohon mahkamah agar tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia di Ulu Kinta, Perak untuk pemerhatian dan penelitian memandangkan perwatakan tertuduh tidak stabil.