Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi. foto IQBAL BASRI

KUALA LUMPUR – Saksi ke-9 perbicaraan kes berprofil tinggi penyewelangan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terus diasak oleh pasukan pembelaan.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hari ini dituduh oleh peguam bela, Wan Aizuddin Wan Mohammed dengan sengaja telah ‘memperdaya’ keseluruhan lembaga pengarah 1MDB tentang dokumen bon bernilai AS$1.75 bilion.

Ini kerana Shahrol dikatakan tidak membuat penelitian terhadap dokumen yang tidak menyatakan International Petroleum Investment Company (IPIC) akan bertindak sebagai penjamin.

Malah Shahrol juga mengakui beliau tidak membaca dokumen-dokumen berkaitan, sebaliknya hanya sekadar menandatanginya.

Namun Shahrol tidak mengaku beliau bertindak sedemikian kerana berkomplot dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low bersama-sama dengan beberapa individu lain.

Seperti biasa, cara Shahrol menjawab adalah dengan menafikan dengan mendakwa dokumen telah disediakan oleh peguam 1MDB, Jasmine Loo.

Malah Shahrol juga mendakwa beliau tidak mengesyaki Loo kerana pada kebiasannya peguam itu selalu melaksanakan kerjanya dengan baik.

Soal Wan Aizuddin, mengapa IPIC tidak disenaraikan sebagai penjamin dalam dokumen berkaitan bon dan mengapa Shahrol tidak membaca dokumen.

Wan Aizuddin: Cuba jelaskan dalam mahkamah ini, adakah anda sedang beritahu nota AS$1.75 bilion melibatkan jaminan daripada 1MDB kamu sebenarnya hanya tandatangan tanpa teliti?

Tapi kamu adalah CEO 1MDB.

Shahrol: Ya setuju.

Wan Aizuddin: Saya cadangkan kepada kamu sebenarnya sengaja tidak kisah kerana sebenarnya terlibat dengan dalam komplot dan konspirasi dengan Jho Low, Jasmine Loo, Goldman Sachs, Khadem Al-Qubaisi untuk menggelapkan dana tersebut.

Shahrol: Tidak.

Wan Aizuddin: Tapi anda sebagai CEO tidak jalankan tugasan jaga kepentingan syarikat, sebaliknya biarkan perkara ini terjadi.

Shahrol: Tidak setuju.

Wan Aizuddin merujuk kepada IMDB dan IPIC yang telah memeterai perjanjian ‘enter-guarantor’ untuk bon yang diterbitkan pada Mei 2012.

Bon bernilai AS$1.75 bilion itu merupakan sebahagian daripada pembiayaan diperolehi 1MDB untuk memiliki pengeluar tenaga bebas (IPP), iaitu Tanjong Energy Holdings Bhd daripada Ananda Krishnan dan Genting Sanyen Power Sdn Bhd menerusi Genting Bhd.

Wan Aizuddin cuba mendapatkan kepastian Shahrol yang mana IPIC dalam perjanjian yang diserahkan sebagai eksibit mahkamah, mendakwa Shahrol, Jasmine yang menyediakan dokumen sambil ‘input’ telah diberikan oleh Goldman Sachs.

Goldman Sachs merupakan bank pelaburan dilantik 1MDB untuk menjadi penasihat bagi penerbitan bon.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah menaggiuhkan perbicaraan pada 3 Ogos depan. –MalaysiaGazette