Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat empat kluster baharu Covid-19 telah dikenalpasti di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, keempat-empat kluster berkenaan adalah PUI Pitakwa, PUI Shirala, Kluster Pusat Perubatan Kuching dan Kluster Jupiter.

Jelasnya, indeks Kluster PUI Pitakwa adalah seorang warganegara Malaysia (kes ke 8,737) yang telah pulang dari Nigeria pada 11 Julai lalu.

Saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mendapati beliau negatif bagaimanapun tiga hari kemudian, beliau menjalani ujian ulangan kerana mula mengalami gejala yang lebih teruk dan disahkan positif Covid-19.

Pesakit kemudian dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu.

Susulan itu, 44 kontak rapat telah dikenal pasti dan disaring terutamanya ahli keluarga, penumpang, krew penerbangan, pemandu teksi dan rakan sekerja.

Daripada jumlah tersebut, dua adalah positif Covid-19, tiga negatif manakala 39 masih menunggu keputusan.

Indeks Kluster PUI Shirala pula seorang golongan profesional bukan warganegara (iaitu kes ke-8730) dan telah tiba di Malaysia pada 6 Julai lalu atas urusan kerja.

Saringan Covid-19 di India dan kemudiannya di Pintu Masuk Antarabangsa KLIA didapati negatif.

Lima hari selepas ketibaan  di Malaysia  beliau  perlu
menjalani   ujian   ulangan   bagi   Covid-19   kerana   mula
mengalami gejala 11 Julai 2020 dan dikesan positif Covid-19.

Beliau  telah  dimasukkan  ke  Hospital  Sungai  Buloh. Setakat ini, dua kontak rapat telah dikenalpasti di mana satu (1) kes dikesan positif Covid-19 (kes ke-8738) dan seorang lagi adalah negatif.

Bagi indeks Kluster Pusat Perubatan Kuching pula adalah seorang petugas kesihatan warganegara Malaysia (iaitu kes ke-8734) yang telah menjalani saringan  Covid-19 kerana berisiko tinggi namun tidak mempunyai gejala.

Beliau dikesan   positif   Covid-19   pada 14  Julai lalu  dan
kemudiannya telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

Setakat ini, satu kes dikesan positif Covid-19 daripada 26 kontak rapat telah dikenalpasti termasuk ahli keluarga dan rakan sekerja.

Manakala yang lain adalah negatif. Kes positif tersebut adalah ke-8, 744 dan merupakan rakan setugas kes ke 8, 734 di sebuah Pusat Perubatan di Kuching.

Kluster keempat adalah Jupiter yang mana menurut Noor Hisham, indeks merupakan seorang krew kapal bukan warganegara Malaysia.

Kes 8,723 itu mempunyai sejarah perjalanan ke Jepun dan Singapura.

Beliau mula mengalami  gejala pada 3 Julai lalu dan gejala menjadi semakin teruk pada 11  Julai 2020  di  perairan  Sarawak.

Beliau telah dimasukkan ke pusat perubatan dan saringan Covid-19 didapati positif. Beliau kemudiannya dipindahkan ke Hospital
Bintulu, Sarawak.

Di bawah kluster ini, dua disahkan positif Covid-19 manakala 27 adalah negatif.

“Kluster ini adalah kluster import yang terpencil. Masyarakat sekeliling sememangnya tidak terdedah kepada krew kapal ini namun kes yang memerlukan rawatan akan segera dibawa ke pusat perubatan dan hospital,” ujarnya.- MalaysiaGazette