Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bank Dunia memuji tindakan Malaysia menaikkan garis kemiskinan kepada RM2,208 berbanding RM980 sebelum ini.

Katanya, keputusan tersebut benar-benar “menaik taraf” dan sekali gus membolehkan kerajaan memastikan semua rakyat mampu mencapai paras minimum terbaharu itu yang mana adalah konsisten dengan keadaan semasa di Malaysia.

Menurut Pakar Ekonomi Kanan Bank Dunia, Kenneth Simler, keputusan untuk menaikkan garis kemiskinan tersebut menunjukkan kesusahan dan kesengsaran yang sebelum ini diaggap sebagai sesuatu yang tidak bernasib baik tetapi masih boleh diterima masyarakat, sudah tidak boleh lagi diterima pada tahun 2020.

“Apabila mengira kadar kemiskinan sebanyak 5.6 peratus, Jabatan Perangkaan tidak membuat perbandingan dengan pendapatan setiap isi rumah kepada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) sebanyak RM2,208 yang selalu disebut.

“Angka berkenaan adalah secara purata.

“Sebaliknya, PGK dikira secara berbeza untuk setiap isi rumah bergantung kepada berapa orang yang tinggal sebumbung dan kos barangan serta perkhidmatan asas di kawasan tersebut secara khusus.

“Ini sudah pastinya berbeza-beza di setiap daerah di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Kenneth, dasar-dasar pembasmian kemiskinan dan kemakmuran negara boleh dimanfaatkan dengan mengambil berat terhadap perincian dalam kaedah garis kemiskinan tersebut.

Tegasnya, perkara yang paling penting adalah memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang sangat memerlukan dan dana kerajaan yang terhad juga dibelanjakan dengan kaedah yang paling efisyen.

“Ini boleh dicapai dengan mencipta syarat kelayakan dan paras manfaat yang diterima kepada ciri-ciri ringkas tetapi penting seperti jumlah individu yang tinggal serumah serta mengenal pasti tempat tinggal mereka berada di kawasan yang berharga mahal atau murah,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast