Sebahagian daripada penuntut Malaysia di Mesir yang dibawa balik oleh ISMA dan Yayasan Maghfirah.

KUALA LUMPUR – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) telah berjaya membawa balik 300 orang pelajar dari Mesir yang ingin pulang disebabkan wabak Covid-19.

Mereka yang dibawa pulang ini merupakan penuntut daripada keluarga kurang berkemampuan.

Mohd Noor Azib Asmangi, Pengarah Kempen Aku Ingin Pulang yang dijalankan bersama Yayasan Maghfirah berkata, pihaknya berjaya mengumpul kira-kira 50% daripada sasaran kutipan dana.

Jumlah pelajar yang berjaya dipulang itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 5,000 orang yang masih berada di Mesir.

Semalam, 22 orang pelajar kumpulan pertama telah dibawa pulang melalui penerbangan Etihad yang berlepas jam 5.30 petang waktu Mesir dan telah tiba di KLIA jam 12.30 tengahari waktu tempatan.

Penuntut Malaysia dari Mesir menjalani saringan Covid-19 di KLIA.

Kesemua pelajar ini telah mengambil ujian rapid test sebelum berlepas dan akan melalui ujian kedua di KLIA sewaktu ketibaan hari ini.

Menurut Mohd Noor, pada bulan depan seramai 80 orang pelajar akan di bawa pulang ke Malaysia setelah mereka tamat peperiksaan akhir di universiti masing-masing.

”ISMA dengan kerjasama Yayasan Maghfirah mengambil tanggungjawab untuk membantu membawa pulang para pelajar ini dari bahaya wabak Covid-19 yang masih tidak menentu di Mesir.

”Dana masih diperlukan untuk membawa lebih ramai lagi pelajar pulang dan kami sangat mengalu-alukan sebarang sumbangan kewangan daripada syarikat korporat dan orang ramai untuk menjayakan projek ini,” ujarnya.

Katanya, orang ramai yang mahu menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Yayasan Maghfirah, Maybank (562263552802) atau CIMB (8603221427). – MalaysiaGazette