KUALA LUMPUR – Sebanyak tujuh premis diarah tutup oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kerana tidak mematuhi syarat kesihatan dan pelesenan.
Dalam satu kenyataan Penolong Pengarah Komunikasi Korporat MBPJ, Ahmad Iskandar Mohamad Mukhtar berkata, antara kesalahan yang dilakukan adalah tidak mendapatkan suntikan imunisasi typhoid, gagal melaksanakan kawalan serangga dan binatang perosak, premis tidak diselenggara dengan baik serta menjalankan perniagaan tanpa lesen.
Katanya, sebanyak sembilan premis diperiksa dan daripada jumlah itu tujuh diarahkan tutup serta 23 kompaun turut dikeluarkan.
Tambah beliau, operasi pemantauan dan pemeriksaan dijalankan oleh Unit Penguatkuasaan Kesihatan Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Persekitaran MBPJ pada 14 Julai lalu.
Ahmad Iskandar juga menasihati pemilik premis mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara seperti jarak antara meja, penggunaan cecair pembasmi kuman, pemeriksaan suhu badan serta mendaftar di aplikasi Selangkah atau manual sebelum masuk ke premis. – MalaysiaGazette