foto: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

KUALA LUMPUR – Hasrat seorang lelaki berumur 20 tahun untuk memancing bersama abang dan adiknya berakhir tragedi apabila dia ditemui lemas tidak jauh dari Pantai Dandulit, Sandakan pagi tadi.

Mangsa yang dikenali Fadlizan Idris yang merupakan seorang penghantar makanan di sebuah restoran makanan segera di Sandakan dikatakan ingin menghabiskan baki cuti terakhirnya untuk memancing.

Menurut kenyataan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), mangsa bersama seorang abang dan seorang lagi adik lelakinya pergi ke Pantai Dandulit pada pukul 9 pagi sebelum ketiga-tiga beradik itu hanyut ketika cuba menyeberangi laut untuk ke kawasan batuan berhampiran.

“Nelayan kampung yang berada berhampiran menyedari kejadian tersebut dan berjaya menyelamatkan dua daripada mereka manakala seorang lagi masih hilang,” katanya.

Menurut APMM, bertindak daripada maklumat yang diterima daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Sandakan pada pukul 11.11 pagi, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan (ZM Sandakan) memaklumkan kepada Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kota Kinabalu untuk mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

foto: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

Jelasnya, SAR diaktifkan pada pukul 1 petang dengan penugasan dua bot milik Maritim Malaysia manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM), JBPM serta orang kampung dan ahli keluarga memberi bantuan darat.

Tambah kenyataan itu, mayat mangsa ditemui oleh abang saudaranya kira-kira 30 meter dari tempat kejadian pada pukul 3.22 petang seterusnya diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Duchess Of Kent Sandakan.

Berikutan itu, Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki mengingatkan orang ramai agar sentiasa menitikberatkan hal-hal keselamatan ketika menjalankan aktiviti di laut terutamanya memakai jaket keselamatan.

Sebarang aduan atau kecemasan di laut boleh menghubungi terus bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian MERS 999. – MalaysiaGazette