Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed (kiri) dan Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin (kanan) ketika hadir pada Pelancaran Hari Banci Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 07 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Terdapat pihak tertentu sengaja menggunakan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk menguji keteguhan kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mengurus perkara tersebut.

Exco Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, isu tersebut  digunakan untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu dan memainkan sentimen perkauman dengan mengatakan Muhyiddin menyebelahi Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazong) dan bersetuju untuk mengiktiraf UEC.

“Tampaknya ada cubaan sebilangan pihak mahu menimbulkan sentimen ‘perkauman’ sebegitu kononnya mahu memetik kemarahan orang Melayu dalam kedamaian semasa negara di samping menduga keteguhan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) dalam urusan kepimpinannya terkait isu UEC setelah tular laporan media serta beberapa hantaran di media sosial rentetan pertemuan pihak Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) dengan perdana menteri (PM).

“Jika diamati dengan teliti, kenyataan dari laman rasmi muka buku (Facebook) TSMY, secara jelas dilaporkan perbincangan kedua pihak adalah menyeluruh perihal pembangunan komuniti masyarakat Cina, dan menjadi kemestian selaku Perdana Menteri untuk mendengar serta membuka ruang akomodasi demi mencapai tekad integrasi nasional dan ia bukanlah suatu kesalahan.

“Malah tiada langsung pernyataan dari TSMY yang mahu mengiktiraf UEC secara menyeluruh seperti yang mula dimainkan pembangkang,” katanya menerusi kenyataan.

Kenyataan ini dikeluarkan sejurus selepas DAP menerusi Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusatnya (CEC), Ronnie Liu Tian Khiew menggesa Muhyiddin mengotakan janji untuk mengiktiraf UEC sebagaimana dijanjikan beliau dan Bersatu sewaktu masih bersama Pakatan Harapan (PH).

Gesaan Ronnie ini muncul selepas Muhyiddin dilaporkkan mengadakan pertemuan dengan Huazong baru-baru ini.

Persatuan itu kemudian mendakwa Perdana Menteri secara peribadi berharap pada suatu hari nanti kerajaan akan mengiktiraf UEC.

Jelas Ashraf, apa yang dikatakan oleh Huazong hanya dakwaan semata-mata dan jelas tidak menggambarkan pendirian sebenar Perdana Menteri berkenaan.

Tambahnya, prestasi Muhyiddin ternyata cukup baik dalam mempertahankan jati negara dan beliau dalam masa yang sama berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Keterangan kononnya secara peribadi PM berharap kerajaan akan iktiraf UEC hanyalah suatu dakwaan yang ditimbulkan pihak Huazong dan dilaporkan media, dan dapat dibaca secara jelas penolakan halus TSMY sepertimana petikan dalam artikel perkongsian Huazong kepada media (isu UEC) berbunyi ‘Bagaimanapun, kata Huazong, perdana menteri meminta semua pihak agar memahami dasar dan keadaan dalam negara’.

“TSMY malah turut menambah dalam kenyataan sama, ‘Huazong berkata, Muhyiddin menyatakan harapan agar isu berkenaan dapat ‘dikendurkan’ dan ditangani secara rasional’.

“Ini jelas suatu penolakan malah menilai sejarah TSMY sepanjang karier beliau dalam pentadbiran negara, hal terkait isu identiti negara seperti isu Bahasa Melayu, Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan UEC,” tambahnya.

Justeru Ashraf memberi amaran kepada pihak tertentu agar tidak cuba menangguk di air keruh yang akhirnya memudaratkan kestabilan negara.

“Maka dari penjelasan ini, berharap rata-rata faham dan jangan mencuba untuk menuba racun yang akan memudaratkan lagi kestabilan negara atas hal-hal yang sekadar demi kepentingan politik.

“Dan ya! Sebagai PM, beliau perlu melayan apatah lagi mendengar permintaan rakyat yang berbilang kaum, namun kita wajar serahkan kepada kebijaksanaan beliau yang secara jelas berpegang kepada ‘dasar’ negara,” kata beliau. – MalaysiaGazette