KUALA LUMPUR – Selepas Tun Dr Mahathir Mohamad gagal menjawab motifnya meletakkan jawatan Perdana Menteri pada Februari lalu, niat beliau menamakan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai penggantinya pula kini dipersoalkan pemimpin utama Sabah.
Presiden Parti Solidariti Tanahairku Sabah, Datuk Dr Jeffrey G Kitingan tidak menolak kemungkinan langkah itu hanyalah satu lagi permainan politik Dr Mahathir untuk memastikan Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63 tidak ditunaikan kepada rakyat Sabah dan Sarawak.
“Saya tahu Tun M ini tidak akan bagi (MA63). Sebab itu dia keluarkan perbincangan royalti dan minyak daripada jawatankuasa perundingan MA63.
“Bila dia keluarkan ini, bererti full stop lah. Dia (Dr Mahathir) mahu runding terus dengan Ketua Menteri (Mohd Shafie).
“Ini jadi isu besar. (Bila) Tun M sokong dia (Shafie) bererti tidak akan ke mana-mana (MA63). Ia hanya permainan Dr Mahathir,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, baru-baru ini.
Dalam pada itu, sejak Warisan membentuk Kerajaan Negeri Sabah lebih tahun lalu, sehingga kini Mohd Shafie masih gagal menunaikan hak rakyat Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.
“Kita tuntut secara rasmi dari segi revenue sharing (perkongsian perolehan) 40 peratus, berapa dia (Shafie) dapat? Hanya RM26.7 juta, itu saja.
“Kita mahu sekurang-kurangnya RM2 bilion hingga RM3 bilion dan maksimum RM24 bilion, ini RM100 juta pun tiada.
“Sebenarnya isu 40 peratus ini, ada dalam Perlembagaan, jadi isu ini adalah isu besar, begitu juga dengan isu royalti.
“Mengikut Perlembagaan dalam Artikel 112 CA, Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak berhak memungut royalti atau cukai eksport sebanyak 10 peratus, dalam Perlembagaan ada,” jelasnya.
Menurutnya, sehingga kini rakyat Sabah masih tidak dapat menikmati sebarang bayaran royalti minyak ataupun cukai eksport sehingga 10 peratus yang dijamin oleh Perlembagaan.
“Sekarang ini kita tidak menerima apa-apa royalti dan 5 peratus itu hanyalah Cash Payment, berdasarkan kepada Seksyen 5, PDA kita harus menerima cash payment yang sepatutnya dirunding di antara pengeluar minyak dengan Petronas.
“Dulu kita diberi 5 peratus saja, royalti tak dapat sebab di dalam perjanjian yang ditandatangani pada 14 Jun 1976, di dalam perjanjian itu sepatutnya ditandatangani di Labuan 6 Jun 1976 tetapi tidak ditandatangani.
“Kita di Sabah dan Sarawak diminta bersetuju tidak mahu menerima royalti, tidak akan menuntut royalti.
“Tetapi ini salah dari segi Perlembagaan sebab di dalam Perlembagaan ada ternyata mengatakan Kerajaan Pusat melalui Parlimen tidak boleh melarang Sabah Sarawak hendak menerima royalti,” tegasnya.
Kegagalan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) menunaikan tuntutan yang terkandung dalam MA63 juga bertentangan dengan Perlembagaan di mana Sabah dan Sarawak berhak menuntut royalti minyak sehingga 10 peratus.
“Sebelum 1976, kita sudah memungut royalti, di Sabah kita pungut 12.5 peratus.
“Kita sebagai negeri, bodohlah kita menafikan hak kita sendiri untuk tidak memungut royalti.
“Ini sepatutnya kita runding baik-baik dengan Kerajaan Pusat. Sekarang ini saya harap prihatin,” ulasnya.
Mengulas isu pencalonan Mohd Shafie sebagai Perdana Menteri, Jeffrey bagaimanapun melihat ia satu lagi usaha untuk menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim mencapai cita-cita politiknya.
“Hanya yang saya tahu dia nak menutup (halang) Anwar, selagi Anwar masih berhasrat jadi Perdana Menteri, dia akan tutup (jalan).
“Permusuhan lama tak habis, selama ini hanya wayang sahaja,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Jeffrey turut membidas sikap bermuka-muka Mohd Shafie yang menuduhnya bekerjasama dengan parti Malaya (Semenanjung), sedangkan ahli Parlimen Semporna itu sendiri bertuankan Dr Mahathir.
“Warisan ini dia mengatakan Sabah untuk Sabah, jangan kita bertuankan parti Malaya, dia menuduh saya kerjasama dengan parti Malaya sedangkan saya duduk mengatakan tidak mahu bertuankan parti Malaya.
“Tapi dia buat benda yang sama, saya ada asas, saya tak mahu bertuankan parti Malaya tapi saya bersedia dan selalu bercakap kita perlu bekerjasama.
“Apa yang saya buat ini bekerjasama, kalau bertuankan begini (parti Malaya memayungi), kita ini begini (kerjasama bergandingan tangan),” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Ketakutan politik PN dengan PH WARISAN BEBAS
Insyallah amin ini lah juara rakyat
Rakyat dah bijak
Orang chini dibodohkan dengan duit dan calon bodoh